Datuk antara ditahan rasuah penguat kuasa lindung seludup diesel

Iklan
Kedua-dua suspek ditahan masing-masing berjawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan minyak diesel bersubsidi

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguat kuasa dan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 60-an itu dipercayai telah memberi rasuah kepada beberapa penguat kuasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tempat mereka bekerja yang dipercayai telah menyeleweng diesel bersubsidi.

"Kedua-dua suspek masing-masing berjawatan sebagai pengerusi dan pengarah sebuah syarikat yang menguruskan pembelian dan penjualan minyak diesel bersubsidi.

Iklan

"Mereka disyaki telah menyeleweng minyak diesel bersubsidi dengan menyeludup dan menjual kepada pihak luar.

"Bagi melindungi kegiatan tersebut, mereka dipercayai telah memberi wang rasuah kepada beberapa orang penguat kuasa," katanya pada Selasa.

Iklan

Menurut sumber lagi, salah seorang suspek ditahan di pejabat SPRM Cawangan Sibu, manakala seorang lagi ditahan di sebuah pusat perubatan di daerah itu pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan tangkapan ke atas suspek dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki membayar wang jaminan RM50,000 tunai dan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.