Masyarakat perlu fahami literasi undang-undang

Iklan
Pemahaman literasi undang-undang perlu diperluaskan kepada masyarakat jika mahu CPI negara meningkat ke paras tertinggi dunia. Gambar hiasan (Gambar kecil: Zairudin)

SHAH ALAM - Pemahaman literasi undang-undang perlu diperluaskan kepada masyarakat jika mahu Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara meningkat ke paras tertinggi dunia.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, pemahaman tersebut wajar dimulakan sejak kecil supaya masyarakat lebih memahami jelik dan hinanya rasuah daripada sisi agama mahupun moral.

Iklan
Iklan

"Masyarakat kena faham hukuman ke atas pesalah rasuah perlu diberatkan sehingga peringkat paling maksimum bagi menerbitkan rasa gerun kepada yang mahu melakukan rasuah.

"Tanpa adanya kesedaran bersama dan keberanian bertindak, kita tidak mampu membendung gejala rasuah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,150, antara November tahun lalu hingga Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Edisahril Mohd Noor, 41, mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan

Dalam pada itu, Zairudin memaklumkan, pihak bertanggungjawab perlu menjelaskan kepada masyarakat mengenai peruntukan undang-undang berkaitan rasuah.

Mengulas lanjut, dalam hal penjawat awam yang menerima sogokan, beliau berpendapat, masih ramai golongan penjawat awam yang terlibat dengan rasuah kerana masalah sikap ingin mendapat wang dengan cara mudah dan segera.

"Dari segi penguatkuasaan undang-undang pula perlu lebih diperketatkan khususnya pemantauan berkala dan kempen kesedaran untuk mereka yang terlibat,” ujarnya.

Tambah beliau, CPI tertinggi pula tidak mustahil dicapai sekiranya Malaysia tanpa mengira latar belakang atau perbezaan ideologi bersatu hati menolak serta melaporkan sebarang aktiviti salah guna kuasa termasuk rasuah.