SHAH ALAM- Anak kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh 14 tahun lalu bersyukur kerana pembunuh ibunya bakal ke tali gantung.
Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas peguam dan seorang lagi pekerja ladang kerana membunuh jutawan berkenaan dan tiga pembantunya.
Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 39, dalam hantarannya di Instagram meluahkan rasa syukur sebaik sahaja mendapat keputusan berkenaan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan demikian selepas pemohon, N Pathmanabhan, 54, dan T Thilaiyalagan, 32, untuk mengetepikan hukuman gantung itu.
Sementara seorang pekerja ladang, R Kathavarayan, 44, yang juga dihukum gantung sebelum ini, menarik balik permohonan semakan hukuman mati itu.
Susulan itu, lelaki itu kekal hukuman gantung seperti mana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi semua perayu hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor antara jam 8.30 dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Pada 4 Disember 2015, Pathmanabhan, R Matan, Thilaiyalagan dan Kathavarayan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.
Dua tahun kemudian, iaitu 16 Mac 2017, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, dan Kathavarayan kekal ke tali gantung, selepas sekali lagi rayuan mereka ditolak.
Bagaimanapun, R Matan, 33, bernasib baik apabila rayuan pekerja ladang itu dibenarkan oleh lima panel hakim.