Denggi ragut satu nyawa

Iklan
Satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh 22 hingga 26 September lalu. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh 22 hingga 26 September lalu.

Menerusi kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat denggi setakat ini sebanyak 92 kes berbanding 65 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-39 tahun 2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 1,760 kes berbanding 1,514 kes pada minggu sebelumnya," kata Dr Muhammad Radzi pada Selasa.

Menurutnya, bilangan lokaliti kawasan panas yang dilaporkan pada ME ke-39 adalah sebanyak 32 berbanding 33 pada minggu sebelumnya.

Iklan

"Dari 32 lokaliti yang dilaporkan, 21 lokaliti adalah di Selangor, Negeri Sembilan (lima), Pulau Pinang (tiga), Kuala Lumpur dan Putrajaya (dua) dan satu di Kelantan.

"Denggi adalah penyakit yang mempunyai corak penularan bermusim dan situasi semasa menunjukkan tren penurunan kes demam denggi sejak Ogos namun jumlah kumulatif kes masih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu," katanya.

Iklan

Jelas beliau, berdasarkan tren kes denggi tahun sebelumnya, kes dijangka akan meningkat semula menjelang akhir tahun akibat faktor cuaca dan pergerakan manusia.

"Oleh itu, langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan persekitaran dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes merupakan kaedah terbaik dan perlu diteruskan untuk mengelakkan sebarang lonjakan kes pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat satu kes chikungunya direkodkan bagi tempoh sama menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 76 kes.

"Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke- 39.

"Bagi survelan zika, sebanyak 2,027 sampel darah, lapan urin dan tiga cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan keputusan adalah negatif," ujar beliau.