Lelaki maut SUV terbabas masuk ladang kelapa sawit

Iklan
Sebuah SUV dipercayai terbabas dan terbalik di Sitiawan mengakibat pemandunya maut di tempat kejadian. Foto ihsan Bomba Perak

LUMUT - Seorang lelaki maut apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya disyaki terbabas dan terbalik di Kilometer 211.8, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara di sini, pada Selasa.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialami.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.35 petang.

Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan. Foto ihsan Bomba Perak

"Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit dan terdapat mangsa tersepit di bahagian pemandu.

Iklan

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan," katanya.

Menurut beliau, operasi diteruskan untuk membawa keluar mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.

Iklan

"Mangsa dibawa keluar dengan menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan bomba diketuai oleh Komander Operasi, Muhammad Arif Irfan Mokhtar dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.37 petang," katanya.