DESAS-DESUS keretakan rumah tangga Baim Wong akhirnya terjawab selepas aktor terkenal Indonesia itu menfailkan penceraian terhadap isterinya, Paula Verhoeven di Mahkamah Agama Jakarta Selatan.
Perkara itu disahkan bintang berusia 43 tahun itu pada Selasa.
"Benar. Selebihnya pada peguam saya," katanya ringkas seperti dilaporkan CNNIndonesia.com
Permohonan cerai itu didaftarkan dengan nombor kes 3477/Pdt.G/2024/PA.JS dan dapat dilihat di laman rasmi Sistem Maklumat Pengesanan Kes PA Jakarta Selatan.
Bagaimanapun, butiran kes ini belum lagi kelihatan di laman web rasmi SIPP PA Jakarta Selatan.
Sebelum ini, berita keretakan rumah tangga Baim atau nama sebenarnya Muhammad Ibrahim dan Paula sudah lama kedengaran.
Khabar angin ini timbul kerana pasangan itu jarang dilihat bersama.
Salah satu detiknya ketika Baim menyambut hari lahir bapanya, Johnny Wong.
Namun menerusi gambar yang dimuat naik pemain utama Lily: Bunga Terakhirku itu ke akaun Instagram peribadinya, susuk tubuh Paula Verhoeven tidak kelihatan.
Bukan itu sahaja, Paula pula dilihat menunaikan ibadah umrah bersendirian tanpa kehadiran Baim.
Manakala Baim mengakui sudah jarang pulang ke rumah dan sering tidur di pejabat.
Sekadar info, Baim dan isteri iaitu Paula Verhoeven telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2018.
Hasil perkahwinan selama enam tahun itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Kiano, 3, dan Kenzo yang berusia dua tahun.