NGO dan sasterawan negara bantah pelaksanaan PPSMI

Iklan
Sidang media khas Isu PPSMI oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini hari ini. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Gabungan Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang terdiri daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah pelaksanaannya buat kali kedua dalam dasar pendidikan negara.

Bantahan tersebut turut mendapat sokongan dan dokongan daripada beberapa Sasterawan Negara antaranya Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Anwar Ridhwan.

Iklan
Iklan

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, pihaknya terkejut dan kesal dengan kenyataan Perdana Menteri yang turut memangku jawatan Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang pelaksanaan semula PPSMI pada satu mesyuarat tertutup dengan pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) 30 Januari lalu.

"Mengapa sekarang setelah melantik dirinya menjadi pemangku menteri pendidikan, Dr Mahathir masih berdegil untuk melaksanakan PPSMI buat kali kedua walaupun ia pernah gagal pada 2003 hingga 2010.

Iklan

"Sebelum ia dilaksanakan, seramai 65 profesor dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi telah membantah rancangan pelaksanaan PPSMI dan mereka menghantar memorandum kepada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan pada September 2002," katanya pada sidang media khas Isu PPSMI oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini hari ini.

Menurutnya, alasan profesor tersebut kerana pendidikan dalam bahasa Melayu telah berjaya melahirkan beribu sarjana dan profesor dalam bidang berkenaan, namun katanya, bantahan tersebut tidak dihiraukan Dr Mahathir (yang merupakan perdana menteri ketika itu) dan PPSMI tetap dilaksanakan.

Iklan

Mengulas lanjut beliau berkata, kemuncak daripada bantahan tersebut, lebih kurang 100,000 rakyat telah bangkit dan berhimpun pada 7 Mac 2009 di Kuala Lumpur dan mendesak agar PPSMI dimansuhkan.

Menurutnya, kesan daripada perhimpunan dan kajian dilakukan, PPSMI kemudian dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.

"Kami mahu mengingatkan Dr Mahathir, tindakannya yang memaksa KPM menjalankan PPSMI pada 2003 hingga 2012 telah merosakkan masa depan hampir tiga juta murid dan menghabiskan belanja lebih RM3 bilion," katanya.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Prof. Datuk Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Sementara itu, penolong Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Firdaus Hadzir berkata, pihaknya juga menyokong bantahan itu selaku badan mahasiswa yang sangat sinonim dengan pelajar sekolah.

"Setiap minggu, kami memang turun ke sekolah untuk mendekati dan menyantuni pelajar sekolah dan antara yang kita tanya berkaitan dengan pelajaran mereka. Saya rasa perkara ini tidak dinafikan sangat membebankan.

"Sebagai contoh, saya antara generasi yang melalui PPSMI pada 2012 dan 2012 ditukar kepada Dual Languange Programme (DLP) dan saya rasa perkara ini sangat membebankan.

"Saya setuju dengan Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Sariyan yang mengatakan ini satu pembaziran dari segi bebanan kepada guru dan pelajar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM

Beliau turut menyifatkan pelajar seolah-olah menjadi 'tikus makmal' apabila masa depan mereka diperjudikan oleh bahasa Inggeris itu sendiri.

Dalam masa sama, beliau berkata, pelaksanaan PPSMI itu seolah- olah memberikan satu polemik yang lain kepada pelajar sekolah dan guru-guru.

Jelasnya, PKPIM sangat konsisten membantah PPSMI sejak 2009 bermula dari awal pelaksanaan dan penghujung ditukar kepada DLP.

"Kami tidak mahu bahasa Melayu diketepikan. Kami konsisten dan mahu bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa ilmu supaya pelajar dapat memahami dengan lebih baik," katanya.