Sindiket visa perubatan warga asing: Imigresen sahkan pegawai disiasat EAIC

Iklan
Datuk Zakaria Shaaban

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke atas jabatan itu mengenai kes sindiket visa perubatan melibatkan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihak EAIC telah hadir ke Ibu Pejabat JIM untuk siasatan berkaitan dakwaan pelanggaran integriti oleh pegawai imigresen.

Iklan
Iklan

"Pihak jabatan menyerahkan kepada EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

"Dalam hal integriti, JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira pangkat atau jawatan.

Ujarnya, JIM memandang serius dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti selaras dengan fokus utama jabatan iaitu meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi Jabatan agar kembali dihormati dan disegani.

Iklan

"Orang awam dialu-alukan untuk melaporkan salah laku babit pegawai imigresen melalui talian 03-8801246 atau melalui e-mel aduanintegriti@imi.gov.my atau hadir sendiri ke Aras 4 Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat pegawai dan anggota JIM berhubung kes menyeludup masuk warga asing melalui kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan seramai 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguat kuasa bersekongkol dalam kegiatan 'counter setting' di pintu negara telah ditahan.