GISBH: 6 peguam kemuka bukti tindakan pisah kanak-kanak tidak ikut undang-undang

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Enam peguam bakal mengemukakan bukti di mahkamah bagi menyokong dakwaan bahawa tindakan memisahkan kanak-kanak dengan ibu bapa yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak mengikut undang-undang.

Peguam berkenaan terdiri daripada Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir; Rizal Abdullah; Dorina Abdullah; Hizri Hasshan; Muhammad Shahrin Satheer dan Asmawati Mohd Shuaib.

Iklan
Iklan

Menerusi kenyataan bersama, mereka mendakwa pemisahan tersebut telah berlaku di luar sempadan protokol undang-undang termasuk yang digariskan dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.

"Pasukan guaman kami sedang giat menyediakan prosiding undang-undang yang bersesuaian untuk menangani pelanggaran yang didakwa ini, sepertimana yang terpakai dan memastikan pemulangan segera kanak-kanak yang telah dipisahkan secara menyalahi undang-undang daripada keluarga mereka.

Iklan

"Kami bercadang untuk membentangkan bukti komprehensif yang menyokong pendirian anak guam kami di hadapan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jumlah kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH melalui beberapa operasi pihak berkuasa kini berjumlah 662 orang, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Iklan

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kesemua mereka juga telah mendapat perintah mahkamah untuk perlindungan.

Dalam pada itu, pasukan peguam itu turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap laporan mengenai kanak-kanak yang dipisahkan daripada ibu bapa mereka sepanjang proses tersebut.

Mereka turut mengingatkan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan dalam parameter ketat undang-undang Malaysia dan prosedur undang-undang yang ditetapkan.

"Sebarang tindakan yang diambil di luar parameter ini boleh mengakibatkan kesan undang-undang yang serius, terutamanya berkaitan kepentingan terbaik kanak-kanak yang terlibat,” tambahnya.