AS ancam sekat akses Turkiye kepada SWIFT kerana perdagangan dengan Rusia

Iklan
Vladimir Putin bertemu dengan rakan sejawatannya dari Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Sochi, Rusia pada 4 September tahun lalu - Gambar fail AFP

ANKARA - Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mengancam untuk memutuskan akses bank-bank Turkiye daripada sistem SWIFT dan menghentikan transaksi dolar jika Turkiye terus menjalinkan hubungan perdagangan dengan Rusia, menurut Hakan Topkurulu, Timbalan Pengerusi Parti Patriotik Turkiye (Vatan).

Tekanan ini memaksa Turkiye mengurangkan hubungan perdagangan dengan Rusia, kata Topkurulu dalam satu temu bual dengan Sputnik pada Selasa.

Iklan
Iklan

Pada Ogos, Amerika Syarikat mengancam Turkiye dengan tindakan susulan jika ia tidak mengehadkan eksport barangan tertentu dari Amerika Syarikat ke Rusia. Sumber diplomatik di Ankara memberitahu Sputnik bahawa Turkiye tidak mengelak sekatan Barat terhadap Moscow.

"Turkiye tidak dapat menahan tekanan Washington disebabkan ancaman AS untuk mengenakan embargo terhadap perdagangan antarabangsa menggunakan sistem SWIFT dan dolar,” kata Topkurulu.

Iklan

Turkiye telah mula mengurangkan perdagangan dengan Rusia, kecuali untuk makanan dan ubat-ubatan, katanya.

Pada awal Ogos, Pengerusi Majlis Persekutuan Rusia, Valentina Matvienko berkata bahawa sistem SWIFT dan dolar telah hilang kebolehpercayaan dan mencadangkan agar BRICS mewujudkan platform pembayaran digital pelbagai hala, BRICS Bridge. Laporan berkenaan sedang disediakan oleh Kementerian Kewangan Rusia dan Bank Pusat, kata pegawai itu.

Iklan

Speaker Parlimen Turkiye, Numan Kurtulmus berkata, perdagangan menggunakan mata wang negara boleh membantu mengelakkan sekatan yang dikenakan secara unilateral oleh kumpulan kecil negara. Beliau menambah bahawa sistem kewangan global dikawal oleh beberapa pemain utama, yang menyukarkan hubungan ekonomi dengan Rusia.

Sejak pertengahan September, operasi perbankan antara Turkiye dan Rusia telah dipantau secara ketat oleh AS. Moscow berkata ia mampu bertahan daripada sekatan Barat yang berterusan, dengan beberapa pihak di Barat mengakui bahawa sekatan itu tidak berkesan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin berhujah bahawa tindakan AS melemahkan dolar, memaksa negara-negara beralih kepada mata wang negara.

Parti Vatan, yang mempunyai lebih 50,000 ahli, berpandukan pendirian anti-Barat dan anti-AS yang dipegang oleh Ataturk dan kekal berpengaruh di Turkiye walaupun tidak mempunyai kerusi di parlimen. - Bernama