Sindiket visa perubatan: EAIC sita 156 fail permohonan pas lawatan sosial

Iklan
Laporan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket visa perubatan yang melibatkan pegawai Jabatan Imigresen (JIM).

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen Putrajaya pada 1 Oktober lepas untuk melaksanakan penyitaan tersebut selaras dengan Seksyen 41 Akta 700.

Iklan
Iklan

"Sitaan ini dijalankan susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan pegawai Jabatan Imigresen yang dikatakan mengeluarkan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) kepada warga asing tanpa mematuhi prosedur,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, siasatan penuh sedang dijalankan selaras dengan Subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan Subseksyen 26(3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Iklan

Terdahulu Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban mengesahkan EAIC telah hadir ke ibu pejabat Imigresen untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti membabitkan pegawai di jabatan tersebut.

Zakaria berkata, pihaknya menyerahkan siasatan tersebut kepada EAIC dan memandang serius serta sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti oleh anggotanya, selaras fokus utamanya untuk meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti bagi memperbaiki imej dan reputasi JIM, agar kembali dihormati dan disegani.

Iklan

Media hari ini melaporkan sindiket terbabit yang didakwa telah lama berleluasa memberi kelulusan visa perubatan kepada warga asing untuk masuk ke negara ini, kononnya atas tujuan mendapatkan khidmat perubatan. - Bernama