Dr Zaliha bincang kerjasama Kuala Lumpur-Hangzhou sebagai bandar raya berkembar

Iklan
Dr Zaliha (dua dari kiri) bersama Datuk Bandar Hangzhou membincangkan usaha memperkukuh kerjasama Kuala Lumpur dan Hangzhou sebagai ‘twin city’. Foto X Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa hari ini mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Hangzhou, China Yao Gaoyuan bagi memperkukuhkan kerjasama Kuala Lumpur dan Hangzhou sebagai bandar raya berkembar.

Dr Zaliha yang dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China bermula semalam berkata perbincangan itu merupakan lanjutan daripada inisiatif Sidang Kemuncak KL20 2024 pada April lepas, dengan kedua-dua bandar telah menandatangani surat niat (LOI) untuk berkolaborasi dalam pelbagai projek bandar berfokuskan teknologi dan inovasi.

Iklan
Iklan

"Saya juga menekankan kesediaan Kuala Lumpur untuk menjalin kerjasama strategik yang dapat membawa manfaat bersama. Saya telah memanjangkan jemputan kepada Datuk Bandar Yao untuk melawat Kuala Lumpur bagi memperkukuhkan lagi hubungan antara dua bandar dinamik ini,” katanya menerusi hantaran di laman X hari ini.

Dr Zaliha berkata, beliau turut menyatakan kepada Yao mengenai minat Kuala Lumpur untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dan meneroka peluang pelaburan yang berpotensi dengan Hangzhou bagi manfaat bersama.

Iklan

"Insya-ALLAH, ini akan memberi peluang untuk kita berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan bandar dan inovasi,” katanya.

Dalam hantaran di X itu, beliau turut berkongsi berita gembira yang disampaikan oleh Yao susulan pencapaian Hangzhou yang dipilih sebagai ‘Bandar Paling Mesra’ oleh kerajaan China.

Iklan

"Tengah hari tadi, Datuk Bandar Yao telah menganjurkan makan tengah hari untuk delegasi kami...Hidangan laksa (ketika makan tengah hari itu) melambangkan pertukaran budaya serta hubungan erat antara Kuala Lumpur dan Hangzhou,” katanya. - Bernama