Lebih 500 atlet, pegawai sukan terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Iklan
Jumlah kematian dalam serangan Israel di Gaza kini mencecah hampir 42,000, dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak manakala lebih 97,100 yang lain cedera. Foto Reuters

ISTANBUL - Sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober 2023, lebih 500 atlet, pengadil, dan pegawai sukan telah terbunuh, termasuk hampir 300 pemain bola sepak, kebanyakannya kanak-kanak dan ahli akademi sukan.

Pihak berkuasa kesihatan tempatan melaporkan jumlah kematian kini mencecah hampir 42,000, dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 97,100 yang lain cedera.

Iklan
Iklan

Menurut Agensi Anadolu, serangan Israel itu telah memberi kesan besar terhadap sukan Palestin, mengorbankan ramai jurulatih, pengadil, dan atlet, termasuk kanak-kanak.

Antara mangsa terkenal pertama ialah Hani Al-Masdar, Jurulatih Pasukan Bola Sepak Olimpik Palestin, yang terbunuh semasa serangan udara Israel pada Januari. Pada April, tiga pemain bola sepak muda dari Akademi Al-Wahda di Gaza terbunuh dalam serangan di Deir al-Balah.

Iklan

Pada Jun, tiga pemain bola sepak Al-Ahli Gaza - Ahmad Abu al-Atta, Anas Iqilan, dan Muhammad Barakat - terbunuh. Barakat, kapten pasukan itu, dikenali sebagai"Legenda Khan Younis" kerana dedikasinya kepada Kelab Belia Khan Younis.

Pelari Olimpik pertama Palestin, Majed Abu Maraheel meninggal dunia pada Julai akibat kegagalan buah pinggang berpunca daripada gangguan bekalan elektrik yang disebabkan oleh pengeboman berterusan. Hani Mesmeh, pengadil antarabangsa FIFA dari Palestin, turut terbunuh semasa serangan udara pada Jun.

Iklan

Pada 14 November 2023, pemain bola tampar Palestin, Hassan Zuaiter dan Ibrahim Qassi'a, terbunuh dalam serangan di kem pelarian Jabaliya.

Serangan Israel telah memusnahkan hampir 90 peratus infrastruktur sukan di Gaza, dengan stadium, kemudahan latihan, dan gimnasium sama ada dibom, dibakar, atau diratakan. Dalam beberapa kes, padang bola sepak telah dijadikan tanah perkuburan sementara.

Pada Januari 2024, rakaman menunjukkan tentera Israel menggunakan Stadium Yarmouk sebagai pusat tahanan sementara bagi tahanan Palestin.

Pada April, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengemukakan petisyen kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), memohon penggantungan dan sekatan terhadap Israel atas pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan di Gaza.

Menjelang September, penilai bebas undang-undang menyokong permintaan PFA, mencadangkan tindakan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Israel.

Minggu lepas, Majlis FIFA bersetuju dengan petisyen PFA dan memulakan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel.