Malaysia, Kuwait setuju konflik di Asia Barat diselesaikan secara rundingan damai

Iklan
Khalid (kiri) ketika melakukan pertemuan dengan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Dr Muhammad Sabah Al-Salem Al-Sabah di Istana Bayan, Kuwait. Foto FB Khalid Nordin

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Kuwait bersetuju konflik yang sedang melanda rantau Asia Barat khususnya di Palestin dan Selatan Lubnan perlu diselesaikan secara rundingan damai dan mematuhi resolusi yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai, dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Dr Muhammad Sabah Al-Salem Al-Sabah yang telah bertukar-tukar pandangan dan menyatakan kebimbangan berhubung konflik itu.

Iklan
Iklan

"Mohamed Khaled telah menghadap Sheikh Dr Muhammad Sabah di Istana Bayan, Kuwait ketika mengetuai delegasi Malaysia buat kali pertama sejak beliau menyandang jawatan tersebut, bagi lawatan kerja rasmi ke negara berkenaan bermula Ahad lepas sehingga Khamis.

"Kerjasama dua hala berkenaan penting bagi menyokong Tonggak Strategi Pertahanan Ketiga, iaitu ‘Perkongsian Berwibawa’ seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan yang menekankan kepentingan hubungan antarabangsa dalam memastikan keselamatan negara, kedaulatan serantau dan keamanan sejagat,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Selepas pertemuan itu, delegasi turut melawat Pangkalan Udara Ahmed Al-Jaber dan telah diraikan dalam majlis makan malam rasmi yang dihoskan Timbalan Perdana Menteri Kuwait Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah.

Semalam, Mohamed Khaled mengadakan kunjungan hormat ke atas Sheikh Fahad Yousef yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negara Kuwait, di Kementerian Pertahanan Kuwait.

Iklan

"Pertemuan berkenaan amat signifikan dan berimpak tinggi buat kedua-dua Menteri Pertahanan dalam membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala dalam pelbagai bidang, seperti kerjasama ketenteraan, pertukaran maklumat dan sains, teknologi dan industri pertahanan.

"Kedua-dua negara kini di peringkat akhir rundingan ‘Memorandum of Understanding on Defence Cooperation’ untuk dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani di Kuala Lumpur pada tahun 2025,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Mohamed Khaled turut menyatakan hasrat memulakan rundingan bagi mengenal pasti kaedah perolehan pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Kuwait Air Force (KAF) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dalam usaha mempertingkatkan keupayaan pertahanan udara Malaysia dan manfaat yang boleh menguntungkan kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan luar rantau khususnya berkaitan situasi keselamatan dan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.