RUANGAN Apa Khabar Rakyat sekali lagi mendekati golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang turut berdepan pelbagai kesukaran dalam kehidupan.
Mereka sukar melakukan aktiviti berkumpulan kerana kekurangan fasiliti bersesuaian serta menuntut perhatian semua pihak.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, ADILA SHARINNI WAHID yang menyingkap keinginan golongan ini di Kota Bharu, Kelantan.
Hampir 400 OKU buta terpaksa menggunakan sebuah rumah kedai yang disewa di Padang Mokkan sebagai tempat berkumpul kerana ketiadaan pusat aktiviti khas untuk golongan ini.
OKU buta mata kanan, Noraini Majid, 54, berkata, sewa sebanyak RM800 sebulan perlu dibayar untuk rumah kedai dua tingkat itu dan ditampung oleh Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) berpusat di Kuala Lumpur.
Tambah menyedihkan, bayaran sewa juga kerap kali terlewat dijelaskan kerana SBM juga mengharapkan bantuan dan derma daripada orang awam.
Katanya, mereka bernasib baik kerana pemilik premis tidak pernah merungut jika terlewat membayar sewa.
"Tetapi sampai bila nak hadap maalah ini. Kami sudah berpuluh tahun menyewa sebab tidak mampu nak beli tempat atau premis untuk menjalankan pelbagai aktiviti.
"Keadaan rumah kedai yang kami gunakan sekarang ini juga tidak mempunyai kelengkapan khas untuk golongan OKU seperti penunjuk sentuhan keluli.
"Perabot yang ada hanyalah kerusi, meja dan almari usang serta digunakan untuk melakukan pelbagai aktiviti termasuk kelas mengaji al-Quran Braille,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Rakannya, Mayorsuri Hassan, 55, berkata, mereka bukan sahaja belajar al-Quran tetapi juga mengadakan kelas urut, refleksologi dan aktiviti lain yang menyebabkan mereka memerlukan tempat untuk berkumpul selain bersosial sesama mereka.
Wanita yang mengalami penyakit terhad penglihatan kerana keturunan itu berkata, sudah empat kali mereka terpaksa berpindah tempat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kerana tidak mampu menjelaskan kadar sewa yang semakin lama semakin meningkat.
"Setiap kali berpindah, kami juga perlu menanggung kos sewa lori mencecah RM1,500.
"Perabot sedia ada yang sudah buruk itu pula bertambah rosak akibat diangkut ke sana sini. Kalau pemilik hendak gunakan tempat ini, bila-bila masa sahaja dia boleh minta kami keluar,” kata Mayorsuri.
Seorang lagi OKU, Wan Mohd Fadhil Wan Pauzi, 36, yang buta pada usia 16 tahun berkata, tahap kemudahan kepada golongan OKU buta di Kelantan masih berkurangan berbanding di Kuala Lumpur.
Katanya, dia yang pernah tinggal di Kuala Lumpur mengakui lebih banyak kemudahan kepada mereka yang terdapat di sana.
"Misalnya lampu isyarat berbunyi untuk kegunaan dan petunjuk golongan buta, saya belum pernah jumpa di Kelantan. Begitu juga pengangkutan untuk OKU menyebabkan kami perlu belanja sendiri menaiki kereta sewa atau e-hailing.
"Begitu juga laluan pejalan kaki seperti persekitaran luar berhampiran Pasar Siti Khadijah, saya sendiri tidak berani nak berjalan bersendirian bimbang tersepak akar pokok atau terjatuh ke dalam longkang,” ujarnya.
Wan Mohd Fadhil yang juga tenaga pengajar al-Quran Braille mengakui kerap kali tersadung dan mengalami lebam di dahi akibat terlanggar objek seperti palang besi semasa berjalan.
"Kami memangnya mudah tercedera sebab buta.
"Tetapi kami juga sedaya upaya berusaha untuk menyesuaikan diri hidup seperti orang normal,” tambahnya.
Mohon sediakan pusat aktiviti untuk OKU
Sementara itu, Pengerusi SBM Cawangan Kelantan, Azmi Abdul Manaf, 53, yang juga cacat penglihatan sejak tiga tahun lalu berkata, penting untuk semua pihak membantu menyediakan tempat atau premis milik OKU buta sendiri yang tidak perlu dibayar sewa untuk mereka melakukan pelbagai aktiviti.
Jelasnya, golongan OKU sepertinya juga berkeinginan untuk berkumpul dan bersosial sesama mereka.
Kata Azmi, menjalankan aktiviti dan berada bersama insan senasib menjadi terapi kepada mereka.
"Apabila kami berada dalam kalangan sama-sama buta, kami berkongsi pelbagai cerita dan rasa lebih dihargai serta difahami.
"Di luar kami berasa terhina tetapi kalau berjumpa sesama kami, akan menjadi lebih bersemangat.
"Jadi, sememangnya amat wajar kami mempunyai sebuah tempat pengumpulan orang buta yang tetap dan kekal bukan sahaja di Kelantan bahkan di setiap negeri,” katanya.
Azmi memberitahu, OKU juga ada perasaan malu apabila sering meminta-minta bagaimanapun, mereka benar-benar tidak berkemampuan untuk membeli sendiri aset kekal bagi tujuan menjalankan aktiviti.
Kesemua mereka ada yang tidak mempunyai pendapatan dan ada hanya kurang RM1,000 sebulan melalui pekerjaan sebagai tukang urut, menjual tisu dan berniaga kecil-kecilan seperti barangan sejuk beku.
Katanya, 20 tahun lalu, kerajaan Kelantan pernah memberi sebidang tanah seluas 558 meter persegi untuk mereka.
"Tetapi, tanah itu tinggal tanah semata-mata dan hanya ditumbuhi semak-samun kerana tidak ada dana untuk dibina bangunan.
"Tidak akan ada premis, jika tidak ada yang datang membantu kami untuk membinannya, sama juga dengan kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan oleh OKU, tiada jika tiada yang tampil membantu,” kata beliau.