Curang itu pilihan bukan kesilapan

Iklan
Menurut kajian, ada lapan faktor utama yang menyebabkan seseorang itu ‘mencari kebahagiaan’ bersama orang lain. Foto 123RF

DUNIA hiburan 'bergoncang' lagi. Kali ini kisah perceraian pasangan artis popular, Fattah Amin dan Fazura menjadi bualan.

Rumah tangga dibina sejak tujuh tahun lalu yang terlihat bahagia rupa-rupanya tersimpan seribu duka.

Iklan
Iklan

Fazura dalam sidang akhbarnya selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada Isnin, mendedahkan tiga punca utama perceraiannya dengan Fattah Amin.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana nafkah terhadapnya dan anak perempuan tunggal mereka, Nur Fatima Aisha, 4, diabaikan sejak sekian lama, selain tiada persefahaman dan kecurangan suaminya itu.

Iklan

Bagaimanapun, Fattah menafikan segala dakwaan yang dibuat Fazura.

Kisah curang dalam rumah tangga hingga berlaku perceraian pasti menimbulkan pelbagai rasa bukan sahaja kepada yang mengalaminya tetapi juga keluarga dan orang sekeliling.

Iklan

Seringkali individu curang mengatakan mereka melakukan kesilapan, namun sebenarnya curang itu merupakan pilihan kerana sesungguhnya manusia diberi pilihan untuk berbuat baik atau buruk.

Dalam agama Islam, perbuatan curang adalah bermaksud tidak setia terhadap pasangannya dengan menjalinkan hubungan cinta dengan orang lain sehingga menyebabkan perasaan marah, cemburu dan persaingan.

Suami dikatakan curang apabila bercinta dengan perempuan lain tanpa mempunyai niat untuk mengahwininya sebagai isteri yang sah.

Bagi pihak isteri pula dikatakan curang apabila bercinta dengan lelaki lain sama ada lelaki itu bujang atau suami orang, dan dalam masa yang sama masih berstatus isteri orang yang sah.

Menurut portal kesihatan Very Well Mind, hampir 40 peratus pasangan yang sudah berkahwin terkesan dengan masalah curang.

Bagaimanapun menurut kajian, ada lapan faktor utama yang menyebabkan seseorang itu ‘mencari kebahagiaan’ bersama orang lain.

Antaranya ialah rasa marah, keyakinan diri yang rendah, sudah tidak sayang, diabaikan, keinginan seks yang tidak tertunai dan juga takdir.

Tetapi, bagi mereka yang terkesan dengan masalah kecurangan, ia bukanlah salah anda.

Salahnya terletak 100 peratus di bahu orang yang memilih untuk curang, bukanlah yang ditinggalkan atau dikhianati.

Menurut Perunding Motivasi Dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah K Hamzah, kebanyakan yang tergamak berlaku curang dalam perkahwinan adalah kaum suami.

Fakta itu dijelaskan menerusi purata 10 kes kaunseling rumah tangga yang pernah dirujuk kepadanya.

Menurutnya, lapan daripada 10 kes membabitkan kecurangan suami. Hanya dua kes yang menyebut mengenai kecurangan isteri.

Hal ini lazimnya berlaku berikutan lemahnya pegangan agama dan pengaruh nafsu.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan golongan wanita agar tidak mudah lemah apabila berdepan dengan situasi sedemikian.

Katanya, sekiranya hati tidak lagi berpaut kepada suami, wanita juga harus terus kuat menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan keyakinan.

Berkongsi tip mengatasi masalah konflik akibat orang ketiga, perunding keluarga Shahari Muda berkata, tidak guna memberontak, memaki hamun dan biadab kepada pasangan kerana hubungan akan lebih berantakan.

Menurutnya, walaupun sukar berfikiran positif, cubalah sedaya upaya terutama demi anak yang sedang membesar dan memerlukan kasih sayang kedua-dua ibu bapa.

Shahari turut menasihatkan agar jangan membuka aib pasangan dengan meluahkan masalah di media sosial atau bercerita kepada rakan kerana ia mengundang prasangka negatif.

Ia juga boleh membuatkan orang lain memberikan pandangan serong kepada pasangan dan anda sendiri.

Jika dirasakan perlu bercerita masalah tersebut, janganlah terlalu terperinci.

Menghadapi kecurangan pasangan bukan perkara ringan. Beban hati yang pedih tidak mampu terluahkan.

Membaca kenyataan Fazura bahawa beliau sudah lama terseksa, bertahun-tahun dan telah berfikir panjang dengan keputusannya, penulis mengerti beban yang ditanggung pengusaha tudung itu.

Bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak, namun, sebagai wanita yang pernah dicurangi, penulis faham.

* Puperahaizad Darsono ialah penyunting di Sinar Harian