KEJAYAAN skuad wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) merangkul kejuaraan Liga Futsal IPT (LFIPT) 2024 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) disifatkan hasil usaha keras dan disiplin tinggi dalam kalangan pemain.
Malah menurut pengurus skuad wanita UiTM, Hakimi Abdul Rahim, cabaran barisan kejurulatihan adalah untuk membentuk skuad yang mantap biarpun tampil dengan status juara Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024.
"Alhamdulillah, satu pencapaian yang amat membanggakan buat pasukan futsal UiTM yang menyerlah dalam Fasa Tiga yang juga Grand Finale di UniSZA, selepas bergelar naib juara pada edisi 2023.
"Sejujurnya, kami kehilangan ramai pemain senior, selain faktor kecederaan semasa Fasa Satu LFIPT di Universiti Sains Malaysia dan Fasa Dua LFIPT di Universiti Pendidikan Sultan Idris, yang menyebabkan kami tiada pilihan terpaksa 'top up' pemain-pemain baharu bagi Fasa Tiga LFIPT di UniSZA sekali gus membentuk semula pasukan.
"Alhamdulillah, kemasukan pemain-pemain baharu tiga dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang, dibantu komitmen dan disiplin tinggi setiap pemain telah banyak membantu menyerlah semula daya saing pasukan," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sebelum itu, UiTM, naib juara 2023, merampas kejuaraan Liga Wanita selepas mengetepikan cabaran penyandang juara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kelebihan jaringan selepas terikat 21 mata manakala UPSI pula di kedudukan ketiga dengan 19 mata.
Kejohanan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapat kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku Pusat Sukan Tumpuan (PST) Futsal dalam menjayakan kejuaraan yang memasuki edisi ke-14 tahun ini.
Mengakui cabaran UPNM dan UPSI sengit dalam dua fasa sebelum itu, Hakimi menegaskan UiTM memberi tumpuan kepada memperkemaskan tindakan penyudah bagi Fasa Ketiga LFIPT di UniSZA.
"UiTM, pemenang kejuaraan kali ini dipisahkan dengan UPNM hanya dua jaringan, dan sememangnya sejak dari awal kami memberikan tumpuan kepada menjaringkan lebih banyak gol selain memperkukuhkan bahagian pertahanan.
"Alhamdulillah, taktikal kali ini berjaya dilaksanakan dengan baik pemain-pemain dalam setiap perlawanan bermula dengan kemenangan 14-0 ke atas Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan dengan MSU, (Management and Science University) 10-0 dalam perlawanan terakhir yang menyaksikan perebutan kejuaraan ditentukan dengan jumlah jaringan," katanya.
Kejayaan dirangkul skuad wanita UiTM lebih manis apabila Ayuna Anjani Lamsin dipilih pemain terbaik kejohanan kali ini.
UiTM membawa pulang RM3,500, medal dan piala iringan, UPNM (RM2,500) manakala UPSI (RM1,500).