JERUSALEM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa, serangan udara Israel pada Selasa telah membunuh dua pengganti pemimpin Hizbullah yang terbunuh sebelum ini.
Dakwaan itu dibuat beliau ketika Israel meluaskan serangan darat terhadap kumpulan pejuang yang disokong Iran dengan divisyen tentera keempat dikerahkan ke selatan Lubnan.
"Kami telah merendahkan keupayaan Hizbullah. Kami menyingkirkan beribu-ribu anggota (Hizbullah) termasuk (Hassan) Nasrallah sendiri dan pengganti Nasrallah dan dua pengganti lain," dakwa Netanyahu tanpa menamakan dua pengganti terakhir.
Dalam perkembangan sama, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant turut mendakwa, Hashem Safieddine yang dijangka menggantikan Hassan Nasrallah, mungkin telah"disingkirkan."
Turut membuat dakwaan yang sama ialah jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari yang memberitahu, Hashem Safieddine berada di ibu pejabat perisikan Hizbullah semasa jet pejuang mengebomnya minggu lalu.
Kata Hagari, status Hashem"sedang disemak dan apabila kami tahu, kami akan memaklumkan kepada orang ramai."
Berita mengenai Hashem tidak lagi didengari secara terbuka sejak serangan udara Israel yang semakin meningkat selepas setahun pertempuran sempadan dengan Hizbullah.
Hizbullah merupakan pasukan pejuang yang disokong oleh Iran dan dianggap paling hebat di seluruh Asia Barat serta telah bertindak menyokong Palestin memerangi Israel di Gaza.
"Hari ini, Hizbullah lebih lemah daripada yang telah berlaku selama bertahun-tahun," dakwa Netanyahu lagi.
Pada Selasa, tentera Israel mendakwa, serangan udara berat terhadap Hizbullah di selatan Lubnan dalam tempoh 24 jam sebelum ini membunuh sekurang-kurangnya 50 pejuang termasuk enam komander sektor dan pegawai wilayah.
Ketegangan serantau yang memuncak setahun lalu oleh serangan kumpulan Hamas dari Gaza ke atas Israel selatan telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk menyelubungi Lubnan.
Pada 1 Oktober, Iran pula melepaskan peluru berpandu ke arah Israel. Pada Selasa juga, Iran memberi amaran kepada Israel supaya tidak mengikuti ancaman tindakan balas.
Menteri Luar negara itu berkata, sebarang serangan ke atas infrastruktur Iran akan dibalas manakala seorang pegawai kanan Iran memberitahu negara Teluk bahawa ia"tidak boleh diterima" dan akan mendapat respons jika mereka membenarkan ruang udara mereka digunakan terhadap Iran.
Kuasa Barat sedang mencari penyelesaian diplomatik, bimbang konflik itu boleh menjejaskan Asia Barat yang juga pengeluar minyak terbesar. - Awani