GOMBAK - Kerajaan digesa supaya tidak meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, gesaan itu dilakukan kerana pelaksanaan PPSMI sebelum ini menemui kegagalan.
Menurutnya, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), golongan sarjana dan profesor dari lapan universiti juga sudah membuat kajian dan hasilnya terbukti tidak berjaya.
"Terdapat kajian daripada DBP dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan lebih 30 peratus pelajar tidak dapat mengikuti pengajaran dalam bahasa Inggeris.
"Kita mahu anak-anak bijak dalam pelajaran Sains dan Matematik, bukanlah melalui penggunaan bahasa lain," katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri sidang media khas Isu PPSMI oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di sini hari ini.
Beliau juga mengesahkan, tidak ada negara di dunia ini yang mahu 'mencerdikkan' anak bangsa dalam subjek Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris.
ARTIKEL BERKAITAN: Subjek Sains, Matematik kembali diajar dalam Bahasa Inggeris: PM
Beliau mengulas demikian ketika ditanya pandangannya berkaitan perancangan kerajaan yang mahu melaksanakan semula dasar PPSMI.
Dalam pada itu, Awang Sariyan turut mempersoalkan tentang kewujudan Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris dan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
"Kementerian sudah pun menubuhkan Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan MBMMBI.
"Semuanya telah bergerak cantik tetapi mengapa masih tidak puas hati mahu melaksanakan juga PPSMI? Ini yang saya tidak faham,” katanya.