SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyambut baik saranan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) agar kolaborasi strategik diwujudkan dalam menangani masalah kebun getah yang tidak bertoreh di seluruh negara.
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, kolaborasi itu bakal membawa kepada peningkatan pengeluaran hasil getah asli negara yang melibatkan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) iaitu RISDA bersama komponen dalam ekosistem industri getah negara.
Menurutnya, di peringkat RISDA, jalinan kerjasama tersebut akan diperhalusi secara mendalam untuk memastikan setiap pihak terlibat mendapat manfaat terbaik terutamanya komuniti pekebun kecil getah yang menjadi penyumbang utama kepada hasil getah negara iaitu sekitar 86 peratus berbanding sektor estet.
"Melalui inisiatif ini, kami komited dalam mengadakan jalinan strategik bagi mengaktifkan Program Pemulihan Getah Terbiar mulai tahun 2024 dalam usaha merancakkan kembali aktiviti pengeluaran hasil getah asli melalui komuniti pekebun kecil getah yang melibatkan kawasan sebanyak 420,000 hektar secara keseluruhan.
"Selain itu, RISDA akan memperkasakan Program Konsolidasi Getah yang melibatkan syarikat milikan kami dalam usaha meningkatkan nilai tambah kepada usaha pengeluaran hasil getah melalui operator pengeluaran yang dilantik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Manndzri, pihaknya turut akan memperkasa usaha pengeluaran hasil getah dalam bentuk lateks yang memberikan pulangan lebih tinggi berbanding skrap melalui usaha menyediakan depo pengumpulan hasil skrap dan lateks.
Ujarnya lagi, sinergi antara RISDA dan pihak berkepentingan pada masa ini dengan memainkan peranan dan fungsi masing-masing secara inklusif demi memastikan sasaran yang sama dapat dicapai.
"Kami akan mencorak landskap baharu industri getah yang bakal memberikan pendapatan serta peningkatan taraf hidup komuniti pekebun kecil disamping memberikan manfaat kepada pemain industri melalui bekalan getah tempatan yang mencukupi.
"RISDA turut mengintai potensi dan peluang dalam merancakkan industri ekonomi hiliran berasaskan getah melalui syarikat milikan di bawah pengurusan Kumpulan RISDA Holdings," katanya.
Menurut beliau, penglibatan RISDA dan pihak berkepentingan akan diperkasakan secara kolektif kepada program rintis yang bakal dilaksanakan bermula dari awal bagi membolehkan pelaksanaan di lapangan berjaya dan memberi manfaat terbaik kepada pekebun kecil.
Dalam pelan strategik bersama pihak berkepentingan pula, RISDA mencadangkan sebarang pembangunan dan penyediaan kertas kerja atau Nota Jemaah Menteri yang dilakukan secara bersama di antara jabatan itu serta pihak berkepentingan lain bertujuan memastikan sebarang cadangan kepada kerajaan berhubung industri getah dan pekebun kecil adalah komprehensif, strategik dengan mempunyai kebolehlaksanaan tinggi.
"RISDA kini dalam fasa perbincangan melaksanakan Program Tanaman Getah Berskala Besar (TGBB) yang bakal diusahakan bersama kerajaan negeri melalui tanah yang diusahakan dengan penanaman getah berkonsepkan estet dengan sasaran keluasan sebanyak 5,000 hektar dalam tempoh 5 tahun pelaksanaan.
"Ia dijangka bakal memanfaatkan seramai 2,700 orang peserta melalui pemberian hasil secara saham," ujarnya.
Jelas beliau, melalui cadangan kerjasama yang bakal dilaksanakan, RISDA berharap agar penyelesaian isu berkenaan dapat diselesaikan sekali gus merancakkan pengeluaran hasil getah asli negara yang akhirnya memberikan pendapatan lebih baik kepada pekebun kecil seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import getah.