Banjir: Penduduk terjejas diarah segera pindah, patuh arahan

Iklan
Khairin-Nisa (kanan) dan Ahmad (dua kanan) menyampaikan bantuan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anom, Sanglang, Pontian.

PONTIAN - Penduduk di lokasi terjejas banjir di negeri ini dinasihatkan untuk segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaik sahaja pihak berkuasa mengeluarkan arahan.

Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, penduduk tidak perlu bimbang kerana bekalan makanan dan keperluan harian lengkap di pusat pemindahan sementara (PPS) mencukupi.

Iklan
Iklan

"Saya nasihatkan mangsa banjir sentiasa berhati-hati dan dengar nasihat daripada pihak berkuasa. Jika perlu berpindah ke PPS, lakukannya segera kerana keadaan hujan tidak menentu ketika ini.

"Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko seperti berdekatan sungai perlu sentiasa bersiap sedia. Simpan dokumen penting di dalam bekas yang mudah di bawa ke PPS," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anom, Sanglang di sini, pada petang Selasa.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Iklan

Seramai 148 orang daripada 45 keluarga masih berlindung di PPS SK Seri Anom sejak Ahad susulan banjir yang berlaku membabitkan Kampung Parit Jawa, Kampung Parit Gantung dan Kampung Parit Lancang sejak Ahad.

Menurut Khairin-Nisa, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah melaksanakan persediaan penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sentiasa bermesyuarat dan bersedia berdepan banjir. Setakat ini, hanya tiga daerah terjejas banjir iaitu Pontian, Batu Pahat dan Kluang.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama agensi lain telah menguruskan operasi bagi memastikan kelancaran bantuan kepada mangsa banjir," katanya.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula seawal minggu keempat bulan ini berbanding ramalan awal minggu pertama November.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesiapsiagaan di pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dipertingkat khususnya dalam mendepani risiko banjir besar di kawasan dikenal pasti berisiko.

MTL membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Barat Sarawak dan Timur Sabah manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.