PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperkenalkan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia tersebut merupakan antara empat langkah strategi reformasi kementerian itu dalam menyelesaikan masalah yang timbul.
"Pekeliling mengenai peraturan ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya di Perhimpunan Bulanan KPKM pada Rabu.
Menurutnya, antara isu besar industri padi dan beras adalah berkaitan kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
"Padi merupakan komoditi strategik negara yang memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai makanan asasi rakyat, tetapi juga sebagai sumber pendapatan bagi lebih 230 ribu pesawah.
"Buat masa ini pengeluaran beras tempatan hanya mampu membekalkan keperluan untuk 21 juta pengguna di Malaysia.
"Oleh kerana penduduk Malaysia sudah melebihi 30 juta orang, sebahagian lagi beras kita terpaksa import dari sumber luar melalui Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas)," ujar beliau.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendedahkan pihaknya menerima aduan mengenai beras dicampur antara beras putih tempatan dan import oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, masalah kekurangan bukti menyukarkan kementerian itu mengambil tindakan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, reformasi pentadbiran juga akan dilaksanakan di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam masa terdekat.
"KPKM juga akan memantapkan tatakelola sektor padi dan beras iaitu pengasingan kuasa antara Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Bernas yang akan segera dilaksanakan," katanya.
Jelas beliau, agenda reformasi turut meliputi penggabungan kesemua 2,030 penguat kuasa dari tujuh agensi KPKM.
Ia membabitkan anggota penguatkuasa dari Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Pertanian (DOA), Jabatan Perikanan (DOF), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
"Kita gabungkan penguat kuasa di bawah KPKM bagi mengoptimumkan tindakan penguatkuasaan untuk memastikan isu ketirisan, penyeludupan dapat dibendung dengan lebih efektif,” katanya.
Tambah beliau, melalui langkah-langkah yang diambil, KPKM mejadi kementerian pertama menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam melalui penggabungan penguat kuasa di bawah KPKM.
"Ingin saya tegaskan bahawa reformasi yang sedang diusahakan kementerian ini bukanlah kerana ada agenda politik, tetapi ia dilakukan adalah untuk kebaikan dan masa depan industri padi dan beras negara.
"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah mana-mana polisi sedia ada kerana ia ibarat sehelai kain sarung.
"Kalau ditarik ke atas, di bawah akan terlihat dan jika ditarik ke bawah, di atas akan terlihat.
"Oleh sebab itu, kementerian ini sangat berhati-hati ketika mahu melaksanakan reformasi ke atas industri ini," tegas Mohamad.