SUK Pahang tubuh Pasukan Bantuan Pertahanan Awam

Iklan
Wan Rosdy menerima.watikah Pesuruhjaya Kehormat (PA) disampaikan Abdul Wahab sempena Majlis Pelancaran CDA SUK Pahang di Wisma Sri Pahang pada Rabu.

KUANTAN - Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Pasukan Bantuan Pertahanan Awam (CDA) bagi membantu rakyat negeri ini semasa berlaku musibah bencana.

Pasukan yang ditubuhkan di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang itu berperanan membantu meringankan beban pasukan penyelamat dalam tugas-tugas menyelamat mangsa bencana.

Iklan
Iklan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pasukan itu juga turut berfungsi dalam memberi bantuan awal kepada sebarang kecemasan yang berlaku dalam premis kerajaan negeri.

Menurutnya, CDA SUK Pahang merupakan pasukan pertama ditubuhkan di kalangan pejabat-pejabat kerajaan negeri di seluruh negara sesuai dengan slogan 'Pahang First'.

Iklan

"Seramai 80 kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah diberi latihan oleh APM Pahang meliputi rawatan luka dan kepatahan, Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR), teknik menyelamat, ikatan, simpulan dan kawad kaki.

"Latihan secara berkala turut dirancang dalam memastikan anggota CDA SUK Pahang mempunyai kemahiran yang cukup dalam memberi bantuan kepada mangsa," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran CDA SUK Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Sempena majlis itu, Wan Rosdy turut menerima watikah Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam (PA) manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob menerima watikah Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (PA).

Watikah tersebut disampaikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Timbalan Pesuruhjaya (PA) Abdul Wahab Rahim.

Wan Rosdy berkata, penubuhan CDA itu perlu diperluaskan kepada agensi-agensi lain di bawah kerajaan negeri.

"Inisiatif ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa komited memastikan keselamatan dan daya tahan masyarakat terhadap musibah bencana sentiasa terjamin," ujarnya.