PU Azman akan kemuka representasi kes amang seksual fizikal

Iklan
PU Azman yang berdepan pertuduhan amang seksual fizikal akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

SEREMBAN - Pendakwah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 43 yang berdepan pertuduhan amang seksual fizikal akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili Azman memaklumkan perkara itu kepada Hakim, Datin Surita Budin di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tujuan representasi tersebut.

"Saya telah diarahkan anak guam saya untuk membuat satu surat representasi untuk dihantar kepada AGC dengan tujuan berdasarkan situasi terkini iaitu anak guam sekarang berada di penjara dan sedang menjalani hukuman.

Iklan

"Saya mohon satu tarikh sebutan ditetapkan kerana surat ini juga akan melibatkan kes-kes lain di mahkamah lain," katanya.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 9 hingga 12 Oktober ini adalah tarikh perbicaraan.

Iklan

Namun Surita membenarkan penangguhan perbicaraan bagi tarikh berkenaan dan memberi tempoh seminggu kepada pihak pembelaan untuk menghantar representasi.

Beliau menetapkan 27 November ini untuk sebutan keputusan representasi dan status penelitian kertas siasatan.

Selain itu, beliau turut memberi kebenaran kepada keluarga Azman untuk berjumpa sekejap dengannya di kamar mahkamah.

Sebelum itu, Azman dilihat tenang masuk ke mahkamah dengan memakai baju t shirt penjara berwarna putih.

Ini merupakan kali pertama beliau dilihat selepas dimasukkan ke Penjara Kajang pada 27 September lalu bagi menjalani hukuman 24 tahun penjara dan dua sebatan.

Di Mahkamah Sesyen di sini, beliau berdepan lima pertuduhan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun 2022.

Perbuatan itu dilakukan di rumahnya di Taman Tiara Sendayan di Nilai.

Sementara itu, Mohamad Zahid ditemui pemberita di luar mahkamah turut memaklumkan anak guamnya telah memfailkan rayuan kes di Mahkamah Klang berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya.

"Apa yang saya boleh maklumkan yang anak guam saya berada dalam keadaan baik, dijaga dengan baik dan dia hanya maklum doakan dia saja," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Azman yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik, dihukum penjara 24 tahun dan dua sebatan atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki, ketika kejadian berusia 17 tahun, dua tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia dihukum penjara 12 tahun dan satu sebatan bermula Jumaat, sementara pertuduhan kedua, 12 tahun penjara dan satu sebatan selepas tamat menjalani hukuman kes terdahulu.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani kaunseling di penjara, selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tertuduh tamat hukuman.

Pada 26 Disember 2023, Azman diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Berdasarkan dua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.