Premis proses getah terpakai keluar bau busuk ditahan operasi

Iklan
Sebuah premis memproses getah terpakai di Kulim dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan pada Selasa.

KULIM - Sebuah premis memproses getah terpakai di sini yang mengeluarkan bau busuk dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan (POK) pada Selasa.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan diambil selepas menerima aduan awam dan didapati premis berkenaan tidak mematuhi syarat di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Iklan
Iklan

"Siasatan lanjut mendapati alat kawalan pencemaran udara yang dipasang iaitu 'scrubber' tidak berfungsi dengan baik dan memerlukan penyelenggaraan.

Sharifah Zakiah memaklumkan, pihaknya juga membuat penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atas kegagalan sistem berfungsi dengan baik dan bagi menghentikan punca pencemaran.

Kakitangan JAS Kedah melakukan pemeriksaan di sebuah premis memproses getah terpakai di Kulim.

Iklan

"Selain itu, Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan supaya pihak premis mengambil tindakan pembetulan dan membuat penyelenggaraan ke atas alat kawalan scrubber di premis mereka," katanya.

Beliau menambah, tempoh notis yang diberikan adalah selama dua minggu bagi pihak premis mematuhi arahan yang diberikan oleh JAS.

Iklan

Dalam perkembangan sama, katanya, pengawasan kualiti udara dijalankan di kawasan yang diadukan selama 72 jam bagi mendapatkan pengukuran bacaan sebenar pencemar udara yang dihasilkan oleh premis ini.

Tambah beliau lagi, JAS Kedah sentiasa komited dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dapat dikekalkan dan kualiti alam sekitar dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan masyarakat.