RAWANG - Sebuah premis kilang di kawasan Industri Rawang Integrated dekat sini disyaki menjadi punca Sungai Gong tercemar.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menemukan punca aliran tercemar datang daripada kilang terbabit yang mengalami kebocoran tangki disebabkan kerosakan injap tangki.
Menurutnya, kebocoran tangki dengan kapasiti 1.84 meter padu tersebut telah menyebabkan anggaran 1.23 meter padu kapasiti aliran minyak melimpah keluar dan memasuki longkang berhampiran serta seterusnya ke Sungai Gong.
" LUAS telah mengarahkan pihak premis menghentikan aliran minyak tersebut serta-merta termasuk meletakkan pasir di kawasan tumpahan minyak di dalam premis sebagai tindakan kawalan.
"Pemberitahuan Bertulis di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 turut dikeluarkan kepada premis terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan pembersihan dengan kadar segera," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Pada Isnin, LUAS menerusi rondaan rutin telah mengesan kesan dan bau minyak di Sungai Gong dengan bacaan bau 1 ton sekitar jam 9.50 pagi.
LUAS mengaktifkan tindakan siasatan menyeluruh serta langkah mitigasi segera berdasarkan Kod Kuning dalam Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor.
Ia susulan aliran tercemar tersebut berpotensi memberi impak kepada Loji Rawatan Air (LRA) utama negeri di Sungai
Selangor iaitu LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3.
Katanya, LUAS telah meletakkan sebanyak empat unit oil boom dan 22 keping oil pad di keseluruhan longkang dan premis terlibat serta di Sungai Gong sebagai langkah kawalan pencemaran.
"Kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak di kesemua lokasi terlibat merangkumi di Sungai Gong, di dalam premis dan kawasan longkang berhampiran telah dilaksanakan oleh kontraktor dilantik dan selesai hari ini.
"Sebanyak 10,000 liter isipadu air yang tercemar dengan sisa minyak telah dibersihkan dan disedut melibatkan satu buah lori tangki berkapasiti 13,000 liter," katanya.
Ujarnya, LUAS seterusnya telah melakukan verifikasi di semua lokasi terlibat dan pencemaran berjaya dikawal sepenuhnya di mana bacaan bau serta keadaan sungai adalah normal.
"LUAS juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat.
"Kerajaan Selangor dan LUAS tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air," katanya.