KUANTAN - Terpaksa menadah air menggunakan bekas makanan dan periuk setiap kali hujan selepas bumbung rumah didiami rosak akibat ribut yang melanda sekitar Jun lalu.
Penghuni rumah di Kampung Chengal Lempung, Farah Umiah Abu Bakar, 39, berkata, keadaan itu menyebabkan dia sekeluarga hidup dalam kesulitan selama hampir lima bulan.
Menurutnya, rumah didiami mereka adalah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina di atas tanah milik bapanya 15 tahun lalu.
Farah Umiah berkata, dia ada membuat tambahan ruang di bahagian hadapan rumah untuk keperluan keluarga, sebelum ia rosak dalam kejadian ribut.
"Ruang hadapan ini saya bina empat tahun lalu menggunakan atap zink yang disumbangkan oleh seorang hamba ALLAH dan ia menjadi ruang tidur untuk saya serta suami.
"Sejak kejadian ribut, atap ruang hadapan itu rosak. Selepas ribut, kami kutip kembali atap yang terbang dan tampal semula, tapi ia tidak sempurna dan kebocoran bertambah teruk" katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Chengal Lempung di sini pada Rabu.
Farah Umiah memberitahu, dia dan suami, Mohd Suhairi Abdul Manaf, 52, yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) terpaksa tidur dalam keadaan serba kekurangan selepas ruang hadapan rumah itu sering dibanjiri air.
"Pernah ketika kami tidur, air hujan menitik, jadi kami terpaksa berpindah ke ruang lain yang tidak bocor serta tadah air yang mengalir dengan besen. Situasi ini berlarutan berbulan-bulan lamanya.
"Kira-kira sebulan lalu, anak yang sudah berkahwin buat keputusan untuk menyewa sebuah bilik di sekitar kampung demi memberikan keselesaan kepada kami berdua," kata ibu kepada sembilan anak itu.
Bercerita lanjut, Farah Umiah berkata, mereka sekeluarga ada menerima sumbangan daripada pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP) sebanyak RM500, namun ia tidak dapat digunakan untuk membaiki atap rumah yang rosak.
"Selain atap, kelengkapan lain juga rosak terkena hujan seperti buku sekolah anak-anak. Atap zink sekarang sudah mahal sekarang,” katanya
Lebih merunsingkan Farah Umiah, musim tengkujuh semakin hampir namun mereka sekeluarga masih tidak mampu menggantikan bumbung rumah yang rosak itu.
Luahnya, dengan pendapatan suami yang bekerja sendiri dan mempunyai pendapatan tidak sampai RM1,000 sebulan, pasti menyukarkan untuk mereka sekeluarga membaiki bumbung rumah pada kadar segera.
Bagaimanapun, Farah berharap agar ada pihak yang sudi membantu membaik pulih rumahnya itu.
"Sekarang pun boleh kata setiap malam hujan. Nanti masuk musim tengkujuh mungkin lagi teruk keadaan rumah kami. Bila ruang ini basah, membahayakan kepada anak-anak kami yang masih kecil.
"Kami juga bimbang jika keadaan basah ini akan menyebabkan berlakunya renjatan elektrik. Saya sendiri pernah terkena renjatan elektrik ketika cuba mencabut wayar elektrik dari palam.
"Jadi saya harap sangatlah sekurang-kurangnya dapatlah baiki atap dan ruang hadapan ini. Jika ruang hadapan ini sudah dibaiki, saya juga merancang untuk berniaga mi calong semula bagi menambah pendapatan,” luahnya.
Dalam pada itu, Farah Umiah memaklumkan, mereka ada menerima bantuan ehsan dari Jabatan Kebajikan Mayarakat (JKM) sebanyak RM300 kira-kira dua minggu lalu.
Katanya, lima anaknya yang berusia antara lima hingga 16 tahun masih bersekolah dan menerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM850 sebulan.
Orang ramai yang ingin membantu Farah Umiah sekeluarga membaik pulih rumahnya boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya bernombor 06019021195855.