Aidil dilantik Ketua Polis Daerah Cheras baharu

Iklan
Aidil (kanan) dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Cheras baharu menggantikan Ravindar Singh dengan disaksikan Rusdi.

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) (Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Cheras yang baharu berkuat kuasa pada Rabu.

Aidil menggantikan Senior Asisten Komisioner, Ravindar Singh Sarban Singh yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ravindar Singh atas khidmat yang dicurahkan sepanjang memikul tugas sebagai KPD Cheras sejak April lalu.

"Banyak program pencegahan jenayah dilaksanakan beliau (Ravindar Singh) selain beberapa kejayaan dan tangkapan dilakukan bagi memastikan keselamatan masyarakat khususnya di daerah Cheras.

Iklan

"Semoga usaha ini tidak terhenti di sini dan diharap tuan Aidil dapat pertingkat usaha banteras jenayah di Cheras," katanya semasa Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini pada Rabu.

Beliau berkata, cabaran menggalas jawatan KPD adalah sangat mencabar.

Iklan

Namun, katanya, ia bukan suatu yang mustahil di bawah pimpinan yang terbaik.

"Saya seru semua pegawai, anggota dan pegawai awam untuk beri kerjasama kepada tuan Aidil sebagai Ketua Polis Daerah baharu dalam menyempurnakan amanah oleh pucuk pimpinan keramat ini," ujarnya.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dan pegawai-pegawai kanan Polis Kuala Lumpur.