Imam Nurul Kamal sempat cium, iqamat anak baru lahir sebelum maut kemalangan

Iklan
Nur Firdaus Salwa (kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung pada Rabu.

MANJUNG - Imam masjid, Nurul Kamal Zulkarnain, 37, yang maut dalam nahas di Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) dekat Sitiawan pada Selasa sempat mencium dan menimang bayinya yang baru lahir.

Isteri, Nur Firdaus Salwa Zamrin, 30, berkata, Allahyarham meluangkan masa hampir sejam bersama bayi perempuan mereka di Hospital Seri Manjung di sini sebelum bergegas pulang.

Iklan
Iklan

"Bayi kami dilahirkan sekitar jam 2.30 pagi, Isnin lepas.

"Jadi semalam dia datang bawa barang-barang keperluan bayi dan uruskan perpindahan saya dari wad bersalin biasa ke wad jagaan rapi bayi.

Iklan

"Arwah bisikkan bacaan iqamat di telinga bayi kami, dia juga sempat menimang dan menciumnya beberapa kali," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Seri Manjung di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, Allahyarham yang bertugas sebagai Imam Masjid As Siddiq di Taman Iskandar Perdana dekat Seri Iskandar maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan terbalik ke kawasan ladang sawit di Kilometer 211.8 lebuh raya.

Allahyarham yang bertugas sebagai Imam Masjid As Siddiq di Taman Iskandar Perdana dekat Seri Iskandar maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan terbalik ke kawasan ladang sawit di Kilometer 211.8 lebuh raya.

Iklan

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas melawat isterinya yang melahirkan cahaya mata ketiga mereka di Hospital Seri Manjung.

Nur Firdaus Salwa yang merupakan Guru Tadika Islam di Seri Iskandar memberitahu bahawa arwah sedikit tergesa-gesa untuk pulang kerana perlu menghadiri kuliah Maghrib.

"Dia selalu mengingatkan saya supaya banyakkan berzikir..itulah juga pesanan terakhirnya kepada saya semalam," katanya.

Dua lagi anak Allahyarham berusia empat tahun (perempuan) dan anak lelaki berusia dua tahun.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Aminaton Sa'adiah Mohideen, 64, berkata, arwah sempat menghubunginya beberapa minit sebelum nahas berlaku.

Katanya, dalam panggilan itu, arwah yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik memberitahu dirinya tidak sempat pulang dan meminta saya mengambil anak-anaknya di taska.

"Kalau ikut jadual, dia ada kuliah maghrib di Masjid Bandar Universiti (Seri Iskandar) semalam. Rutinnya memang sering sampaikan ilmu-ilmu berkaitan tauhid.

"Kadang-kadang saya ikut arwah sampaikan kuliah dhuha di masjid sehingga ke Kampung Gajah, Lambor dan Kampung Banjar, Beruas," katanya.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid As-Siddiq selepas Zohor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Iskandar di Jalan Parit-Seri Iskandar.