Malaysia-Thailand bekerjasama kekang penyeludupan di sempadan

Iklan
Norzaid (kanan) pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Kerjasama Strategik Bil 1/2024, Pasukan Polis Marin Bersama KPDN di Kota Bharu pada Rabu.

KOTA BHARU - Pasukan Polis Marin (PPM) melakukan kerjasama dengan Thailand bagi mengekang jenayah membabitkan pencerobohan dan penyeludupan barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 oleh nelayan.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, pihaknya sedang melengkapkan operasi di kawasan yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan tiada pencerobohan di perairan negara.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, sehingga kini tiada kes serius dilaporkan melibatkan penyeludupan barangan terbabit oleh nelayan di kedua-dua negara.

"Kita memang berkongsi maklumat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan bekerjasama dengan pasukan marin Thailand bagi memastikan aktiviti ini dapat diatasi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Kerjasama Strategik Bil 1/2024, Pasukan Polis Marin Bersama KPDN di sini pada Rabu.

"Kes juga dilakukan oleh sindiket di sempadan yang menggunakan kenderaan dan cuba membawa barang dengan menyeberang menggunakan bot kecil," katanya.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan PPM merekodkan 1,336 kes penyeludupan barang kawalan seperti minyak masak, diesel dan tepung gandum dengan nilai rampasan dianggarkan RM193.4 juta bagi tempoh 2022 hingga September lepas di seluruh negara.

Setakat September tahun ini PPM merekodkan rampasan dengan anggaran nilai tertinggi iaitu RM82.3 juta, diikuti RM71.7 juta pada 2022 dan RM39.3 juta pada 2023.

Dalam tempoh yang sama PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor telah merekodkan 506 kes dengan anggaran nilai rampasan hampir RM6 juta.

Rampasan terbanyak (PPM Wilayah 3) ialah pada 2022 dengan anggaran nilai RM3.5 juta, diikuti RM1.03 juta pada dan RM1.4 juta setakat September lepas.