Air pasang besar di Pulau Pinang diramal bermula 18 hingga 21 Oktober

Iklan
JPS Pulau Pinang meramalkan fenomena air pasang besar akan berlaku di Pulau Pinang antara 18 hingga 21 Oktober ini. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Nazri)

GEORGE TOWN - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang meramalkan fenomena air pasang besar akan berlaku di Pulau Pinang antara 18 hingga 21 Oktober ini.

Bukan itu sahaja, banjir kilat juga dijangka akan berlaku sekiranya hujan lebat dalam tempoh tersebut.

Iklan
Iklan

Pengarah JPS Pulau Pinang, Datuk Mohd Nazri Yasmin berkata, berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024 paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang akan mencecah di antara 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) bermula 18 sehingga 21 Oktober ini.

Menurutnya, pertembungan hujan lebat dalam tempoh sejam dengan air pasang akan berisiko tinggi kepada kawasan pinggir pantai dan sungai-sungai utama di Pulau Pinang.

Iklan

"Waktu puncak air pasang besar ini adalah daripada tengah malam hingga awal pagi. Mengikut piawaian JPS Pulau Pinang, sekiranya jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam, ia dianggap hujan sangat lebat.

"Jika hujan lebat berlaku ketika air pasang besar beserta ribut, air laut akan melimpahi pantai dan paras air sungai utama akan naik dengan cepat. Ini akan membawa kepada risiko banjir," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, di bawah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2, JPS Pulau Pinang telah memasang stesen amaran banjir di kawasan 'hotspot' dan berisiko banjir sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.

"Terdapat 54 alat siren amaran banjir di seluruh Pulau Pinang iaitu 30 dipasang di bawah peruntukan kerajaan negeri, manakala 24 lagi dipasang di bawah PRAB oleh kerajaan Pusat.

"Alat siren amaran banjir ini dipasang di kawasan 'hotspot' dan berisiko banjir yang mempunyai penduduk. Apabila paras air sungai di kawasan berhampiran mencapai tahap amaran, alat tersebut akan berbunyi untuk memberi amaran kepada penduduk sekitar.

"Apabila paras air sungai meningkat ke tahap bahaya, alat siren amaran banjir akan berbunyi lagi untuk meminta penduduk bersiap sedia berpindah ke tempat yang lebih selamat," jelasnya.

Mohd Nazri berkata, sebanyak 19 alat pemantau paras air sungai telah dipasang di bawah kerajaan negeri dan 30 di bawah PRAB, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 49 alat pemantau.

"Alat pemantau paras air sungai ini bertujuan untuk memantau paras air sungai. Selain itu, terdapat 97 stesen sukat air hujan dipasang iaitu 53 di bawah kerajaan negeri dan 44 di bawah PRAB.

"Saya menasihati penduduk yang tinggal berhampiran pantai atau sungai utama supaya berwaspada kerana risiko banjir adalah sangat tinggi jika hujan lebat berlaku ketika air pasang besar," katanya.