TH teruskan kesinambungan bentuk legasi kepimpinan muda

Iklan
Sebahagian para peserta Program Kepimpinan Muda TH (TH Young Leadership Series) siri ke-2 melibatkan seramai 90 pelajar dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sedang melakukan aktiviti dalam kumpulan.

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan usaha melestarikan pemerkasaan dan pembangunan sahsiah kepimpinan pelajar melalui Program Kepimpinan Muda TH (TH Young Leadership Series) siri ke-2 yang melibatkan seramai 90 pelajar dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Program yang diadakan selama tiga hari bermula 6 Oktober 2024 di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur ini, menghimpunkan para pemimpin pelajar berusia 15 hingga 16 tahun daripada 30 sekolah luar bandar yang terpilih dengan kerjasama daripada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, program berkenaan diteruskan untuk siri kedua bagi tahun ini atas kejayaan penganjuran siri pertama pada Februari lalu, yang dilihat berjaya mencapai objektifnya membantu meningkatkan daya kepimpinan dan keyakinan di kalangan para pelajar terutama dari komuniti luar bandar.

"Di samping membantu memupuk potensi pelajar yang akan menjadi penerus legasi para pemimpin masa kini, TH juga berhasrat untuk berkongsi maklumat lebih tepat berkaitan latar belakang TH dan memberikan gambaran lebih jelas berkaitan operasi haji yang kami laksanakan saban tahun.

Iklan

"Kami percaya para pelajar ini boleh berperanan menjadi duta kepada TH dan menyebar luaskan maklumat ini kepada masyarakat dan komuniti setempat agar mereka dapat memahami matlamat penubuhan serta mandat yang dipertanggungjawabkan kepada TH dengan lebih jelas dan tepat, InsyaAllah,” jelas beliau lagi.

Syed Hamadah berucap merasmikan TH Young Leadership Series 2024 pada Selasa.

Iklan

Pada program kali ini, TH menampilkan seorang tokoh korporat iaitu Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah TH. Beliau juga adalah Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif bagi Bank Islam Malaysia dan Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad.

Datuk Nik Mohd Hasyudeen turut berkongsi pengalaman dan kejayaan beliau dalam bidang perniagaan dan juga sektor awam di Malaysia sehingga ke rantau ASEAN.

Selain itu, TH turut membawa pendakwah terkenal di kalangan generasi muda, Ustaz Rahmat Mohd Sofyan (PU Rahmat) yang menyampaikan ceramah motivasi bagi pemantapan sahsiah rohani para peserta.

Pelbagai aktiviti latihan dalam kumpulan turut dilaksanakan bagi melatih variasi kemahiran melibatkan kepimpinan, komunikasi, keyakinan dan kerjasama berpasukan.

Para peserta juga dibawa melawat Pusat Operasi Haji TH di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang bagi mengetahui pengedalian operasi haji tanah air secara keseluruhan.

"Semoga program ini dapat membantu generasi muda hari ini cemerlang dalam bidang akademik dan juga mempunyai keutuhan jati diri dan budaya serta moral yang tinggi,”

"Diharapkan juga semoga ilmu yang diperoleh akan menjadi pendorong semangat dan menjadikan anak-anak ini sebagai ejen perubahan dalam keluarga dan masyarakat, seterusnya menyumbang kepada agama, bangsa dan negara suatu hari nanti,” tambah Syed Hamadah lagi.

ASHRAF


Sementara itu, peserta daripada Sekolah Menengah Seri Sembrong, Kluang, Johor, Ashraf Daniel Abdullah, 15, berkata, beliau sangat bersyukur kerana terpilih menjadi salah seorang peserta program ini dan telah banyak memberi impak positif kepada beliau.

"Program ini telah banyak membantu saya dalam meningkatkan kemahiran kepimpinan dan memperbaiki kelemahan yang ada sebelum ini. Modul latihan dalam kumpulan yang dilaksanakan juga memberi pengetahuan yang sangat bernilai pada saya mengenai kaedah dalam membuat keputusan yang tepat sebagai seorang ketua,” katanya.

SITI NUR SYAZWINA


Seorang lagi pelajar, Siti Nur Syazwina Ramli, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Shahardin, Labu, Negeri Sembilan berkata, segala ilmu dan perkongsian pengalaman daripada tokoh industri akan dimanfaatkan sebaiknya untuk menjadi pelajar yang lebih baik dan pemimpin yang berkaliber.

"Program ini sangat seronok kerana mengetengahkan pelbagai aspek kepimpinan yang menyeluruh. Panel penceramah dan tokoh industri yang dibawa sangat memberi inspirasi dan meningkatkan motivasi saya untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat ini kepada rakan-rakan yang lain apabila pulang semula ke sekolah nanti,” kata Siti Nur Syazwina.