KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot pukat tunda kelas C kerana disyaki melanggar syarat sah lesen pada Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot dikendalikan empat kru warga asing itu ditahan kira-kira jam 10.15 pagi di lokasi 10.1 batu nautika barat Pulau Tioman.
Menurutnya, anggota Maritim Malaysia Pahang yang sedang menjalankan rondaan penguatkuasaan Op Makmur mengesan bot nelayan itu sedang menjalankan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di kawasan yang tidak dibenarkan.
"Hasil pemeriksaan awal dan penggeledahan ke atas bot tersebut mendapati ia dikendalikan empat kru warga Indonesia berusia dalam lingkungan 30 hingga 45 tahun.
"Bot bersama kru ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan kurang dari 12 batu nautika dari pantai atau pulau," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Mazlan berkata, ketika ditahan, tiada hasil laut ditemui.
"Bot bersama kru yang ditahan serta peralatan menangkap ikan yang dirampas dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
"Kru yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan," katanya.
Sementara itu katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak didapati menyalahi undang-undang termasuk aktiviti pencerobohan vesel pukat tunda di kawasan zon nelayan kecil.
"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian kecemasan 999," katanya.