Banjir: Semua PPS di Baling ditutup

Iklan
Anggota APM Baling mengemas PPS yang menempatkan mangsa banjir di daerah itu.

ALOR SETAR - Semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Baling sejak petang Selasa bagi menempatkan 327 mangsa yang terjejas berikutan banjir kilat melanda kali ketiga daerah itu dalam tempoh masa sembilan hari ditutup sepenuhnya pada Rabu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenan (PA), Mohd Faizol Ab Aziz berkata, lima PPS itu termasuklah Dewan Tun Abdul Razak, Kompleks Rakan Muda Batu 42, Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, Maktab Mahmud Bongor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling memaklumkan, kesemua PPS di daerah yang menempatkan mangsa dari 22 kampung di beberapa mukim seperti Siong, Bongor,Pulai dan Teloi Kanan telah ditutup pada Rabu.

"Empat PPS termasuklah SK Siong yang menempatkan 19 mangsa, Maktab Mahmud (71), Dewan Tun Abdul Razak (27) dan SMK Parit Panjang (8) ditutup pada jam 10 pagi.

Iklan

"Sebuah lagi PPS iaitu Kompleks Rakan Muda menempatkan 202 mangsa ditutup pada jam 12 tengah hari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, semua agensi berkaitan diharap terus memantau kawasan berisiko dan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

Iklan

"Sebelum ini, Kampung Batu Lapan,Kampung Tanjung Pari, Kampung Batu 60,Kampung Simpang 3 Sik, Kampung Bukit Sebelah, KampungMemali /Becah Sawa, Kampung Baru, Kampung Pokok Setol, Kampung Lalang serta Kampung Weng Dalam antara sebahagian kampung dilanda banjir di mukim Siong.

"Di mukim Bongor pula, kampung terlibat adalah Kampung Banggol Derom,Kampung Batu 48, diikuti tiga kampung iaitu Kampung Tanjung Merbau, Kampung Banggol Serdang, Kampung Charuk Sikin di mukim Pulai dan dua kampung lagi Kampung Charok Bakap Kampung tembak di mukim Teloi Kanan," katanya.

Pada Selasa, seramai 327 mangsa daripada 125 keluarga terpaksa ke PPS berhampiran selepas Sungai Ketil melimpah ke penempatan penduduk.

Pada 4 Oktober lepas, Sinar Harian melaporkan belum sampai 24 jam banjir di Kedah pulih setelah PPS terakhir dilaporkan ditutup pada Rabu, bencana itu kembali melanda daerah Baling pada Khamis.

Susulan itu, sebanyak tujuh PPS dibuka bagi menempatkan 212 mangsa daripada 66 keluarga berikutan banjir kali kedua tersebut.