Pendedahan rangkaian jenayah: Telegram diminta beri kerjasama

Iklan
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Pos Sedunia 2024 di sini pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan permesejan Internet, Telegram, diminta memberi kerjasama kepada kerajaan dalam usaha menangani masalah jenayah menggunakan aplikasi itu secara meluas seperti didedahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengadakan pertemuan dengan pihak Telegram pada 18 September lepas, dan akan melakukan perbincangan secara berterusan dalam usaha menangani isu berkenaan.

"Saya lihat memang hari ini beberapa bentuk jenayah masih berleluasa di platform Telegram seperti scam (penipuan) pelaburan, jualan dadah dan aspek seperti pornografi dan jenayah terhadap kanak-kanak serta bahan seksual melibatkan kanak-kanak.

Iklan

"Jadi ada beberapa elemen ini kita minta pihak Telegram boleh bekerjasama, dan MCMC telah mengadakan siri pertemuan.

"Kita ikuti dengan rapat apa sedang berlaku di Perancis,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia 2024 di sini pada Rabu.

Iklan

Fahmi berkata, setakat ini kerajaan tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap mana-mana kakitangan dari platform media sosial itu dengan syarat mereka memberikan kerjasama baik seperti yang dikehendaki.

Beliau berkata, semua platform media sosial diberi masa selama dua bulan untuk berdaftar dengan MCMC dan menekuni isi kandungan draf pertama Kod Tatalaku platform media sosial yang dijangka siap bulan ini.

Menurut Fahmi, platform media sosial yang memenuhi syarat iaitu mempunyai lebih 8 juta pengguna tapi gagal berdaftar bagi dilesenkan, boleh dikenakan beberapa tindakan undang-undang.

"Baru-baru ini saya mengadakan pertemuan dan mesyuarat dua hala bersama Duta Besar Perancis ke Malaysia TYT Axel Cruau dan perbincangan kami menyentuh isu tindakan telah diambil oleh mahkamah di Perancis terhadap pihak Telegram.

"Antara perkara telah dimaklumkan dan diketahui umum, pihak Telegram sekarang lebih bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana badan penguatkuasaan dan badan kawal selia malah juga pihak kerajaan dalam berapa perkara," katanya.

Reuters melaporkan PBB mendedahkan rangkaian jenayah berkuasa di Asia Tenggara menggunakan aplikasi Telegram secara meluas, membolehkan perubahan asas dalam cara jenayah terancang menjalankan aktiviti haram berskala besar.

PBB menerusi laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Dadah dan Jenayah (UNODC) mengemukakan dakwaan terkini terhadap Telegram, selepas Perancis menggunakan undang-undang baharu yang ketat tanpa kesetaraan antarabangsa, mendakwa Ketuanya Pavel Durov membenarkan aktiviti jenayah di platform itu. - Bernama