SEREMBAN - Negeri Sembilan berharap Belanjawan 2025 kali ini dapat memberi perhatian terhadap peruntukan dalam pembangunan infrastruktur di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia susulan kos berkaitan infrastruktur adalah tinggi selain mengambil kira kemajuan serta pembangunan yang ada di negeri ini.
"Tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah memberikan infrastruktur lebih baik sekali gus akan mempercepatkan proses pembangunan seperti mana yang dirancang oleh kerajaan negeri dan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini pada Rabu.
Belajawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh yang diramalkan berlaku pada bulan November ini.
Katanya, kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan telah bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir disebabkan peralihan Monsut Timur Laut yang diramalkan lebih awal iaitu pada minggu ke empat bulan Oktober ini.
"Pengurusan Bencana Negeri yang di pengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim telah memulakan mesyuarat bersama agensi-agensi lain bagi mendapatkan maklumat berkaitan bencana yang mungkin dihadapi pada musim tengkujuh ini," katanya.