Zii Jia singkir Popov dalam misi pertahan gelaran Terbuka Artik

Iklan
Lee Zii Jia. Gambar fail

[DIKEMAS KINI] PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia memulakan kempen mempertahankan gelaran juara Terbuka Artik dengan menyingkirkan pemain Perancis Christo Popov 21-15, 21-11 di Energia Areena, Vantaa, Finland pada Rabu.

Pemain nombor empat dunia itu mengambil masa 43 minit untuk menewaskan Popov pada pusingan pertama kejohanan Jelajah Dunia Super 500 berkenaan.

Iklan
Iklan

Pada pusingan kedua, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis itu akan berdepan pemain Jepun Yushi Tanaka yang menewaskan Lei Lan Xi dari China 21-17, 27-29, 21-16.

Zii Jia, 26, memenangi gelaran itu pada Oktober tahun lepas setelah menewaskan rakan senegara Ng Tze Yong pada final, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 17 bulan dalam Jelajah Dunia.

Iklan

Sejak memenangi gangsa Sukan Olimpik, Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama dalam dua kejohanan Jelajah Dunia berturut-turut iaitu Terbuka Jepun dan Terbuka China.

Bagaimanapun, seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao tersingkir awal selepas tewas 19-21, 9-21 kepada pemain Hong Kong Lee Cheuk Yiu.

Iklan

Sementara itu, pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul buat kali pertama selepas Olimpik Paris 2024 menepati ramalan dengan mara ke pusingan kedua Terbuka Artic apabila menumpaskan gandingan China, Chen Bo Yang-Liu Yi straight set 21-18, 21-18.

Menanti Aaron-Wooi Yik esok adalah pemenang dalam satu lagi aksi melibatkan pasangan Republik Czech Jiri Kral-Ondrej Kral menentang beregu England Ben Lane-Sean Verdy.

Terdahulu, pemenang Terbuka China 2024, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut mara ke pusingan kedua Terbuka Artic selepas menewaskan pasangan Denmark Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dalam aksi rubber set 11-21, 23-21, 21-15.

Izzuddin-Sze Fei akan bertemu gandingan Jepun Keny Mitsuhashi-Hiroki Okamura bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Sementara itu, pasangan negara yang kini berada di ranking ke-13, Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya meraih kemenangan ke atas pasangan Indonesia Leo Rolly Carnado-Bagas Maulana 17-21, 21-18, 21-12.

Pasangan itu akan bertemu gandingan Scotland, Alexander Dunn-Adam Pringle untuk aksi pusingan kedua, esok.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami rakan sepasukan mereka Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang terpaksa pulang awal selepas tewas di tangan wakil Taiwan Lin Bing Wei-Su Ching Heng 17-21, 19-21. - Bernama