KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menafikan dakwaan bahawa mangsa pertama rakyat Malaysia yang disyaki dijangkiti koronavirus pernah berada di negeri ini sebelum pulang ke Kedah.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, perkara tersebut telah disahkan dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Saya telah sahkan dengan kementerian (KKM) pesakit tersebut tidak pernah berada di Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Media melaporkan seorang lelaki berusia 41 tahun yang baru pulang dari menghadiri mesyuarat di Singapura disahkan menjadi warga Malaysia pertama menghidap koronavirus.
Lapor Sin Chew Daily menyebut selepas pulang dari Singapura, pesakit kemudian dikatakan telah pergi ke Sungai Petani dan Kelantan bersama isterinya semasa cuti Tahun Baru Cina.
Dalam masa yang sama mangsa menunjukkan gejala-gejala berkemungkinan dijangkiti koronavirus.
Selepas itu, lelaki berkenaan merayakan Tahun Baru Cina dengan keluarganya di kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah.
Mereka juga mengambil gambar keluarga bersama-sama.
Laporan berkenaan juga menyebut yang mangsa kemudian pergi ke Kelantan untuk melawat keluarga sebelah isterinya, sebelum kembali ke Sungai Petani untuk menghadiri majlis reunion dengan rakan-rakannya.