Pegawai JIM pulang wang ditemui hampir RM2,000 terima penghargaan

Iklan
Mohamad Farqrulrazi (kiri) menerima penghargaan atas kejujurannya memulangkan wang ditemui kepada pemiliknya. - Foto: Facebook JIM Johor

JOHOR BAHRU - Kejujuran seorang pegawai Imigresen yang mengembalikan semula sejumlah wang tunai yang ditemuinya kepada pemilik wang berkenaan mendapat pujian.

Dalam hantaran Facebook ditulis Sukie Tay, dia merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor yang jujur dan berdedikasi itu

Iklan
Iklan

"Ibu mentua saya kehilangan RM1,500 ketika dalam perjalanannya dan terima kasih kepada integriti dan usaha pegawai itu yang telah mengembalikan wang berkenaan selepas menemuinya.

"Pada masa ini, adalah sangat menggembirakan untuk mengetahui bahawa masih ada orang di luar sana yang berusaha keras untuk membantu orang lain.

Iklan

"Saya amat berterima kasih atas kejujuran dan profesionalisme pegawai ini.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan JIM Johor kerana memulihkan kepercayaan saya terhadap kebaikan manusia," katanya.

Iklan

Sementara itu, JIM Johor dalam Facebook rasminya turut menyampaikan penghargaan orang awam itu kepada Mohamad Farqrulrazi Rahmad yang juga pegawai Imigresen dari Seksyen Media Unit Komunikasi dan Korporat Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

"Beliau menemui sejumlah wang tunai dalam sampul milik Eng Kuat Li yang berasal dari Johor.

"Wang tunai dalam bentuk mata wang ringgit Malaysia dan dolar Singapura yang berjumlah hampir RM2,000 itu dipercayai tercicir ketika wanita itu berurusan di kaunter pemeriksaan Imigresen Stesen Keretapi JB Sentral di sini, jam 11.30 pagi tadi (semalam).

"Wang tersebut dikatakan adalah pemberian anak wanita itu ketika mula bekerja di Singapura beberapa tahun lalu dan dia menzahirkan rasa lega tak terhingga apabila ia berjaya dijumpai semula," katanya.

Menurutnya, Eng yang tiba semula di Johor Bahru pada jam 6 petang semalam diiringi Timbalan Ketua Imigresen (Kawalan), R Vimala ke Pejabat Unit Pemeriksaan Imigresen JB Sentral untuk menerima kembali wang miliknya.