Solat jenazah imam Nurul Kamal, ratusan jemaah penuhi masjid seperti solat Jumaat

Iklan
Lebih 1,000 jemaah kalangan ahli keluarga, kenalan, kariah dan pelajar tahfiz hadir bagi mengikuti solat jenazah imam masjid, Nurul Kamal Zulkarnain, 37, yang maut dalam kemalangan.

PARIT - Ratusan jemaah hadir memenuhi ruang Masjid As Siddiq di Taman Iskandar Perdana dekat Seri Iskandar di sini bagi menunaikan solat jenazah imam masjid, Nurul Kamal Zulkarnain, 37, yang maut dalam kemalangan pada Selasa.

Mereka yang hadir kalangan ahli keluarga, kenalan, kariah dan pelajar tahfiz itu memenuhi ruang solat di bahagian dalam dan luar masjid tidak ubah seperti solat Jumaat.

Iklan
Iklan

Pengerusi Masjid As-Siddiq, Azmi Murad Mohamad Yusof berkata, dianggarkan lebih 1,000 jemaah menyempurnakan solat jenazah dipimpin bendahari masjid, Hamdi Rahman Mohd Yaacob.

Azmi Murad

Menurutnya, Allahyarham dilantik sebagai imam besar masjid itu sejak 2015 dan sepanjang tempoh tersebut telah menunjukkan kesungguhan tinggi menghidupkan program komuniti seperti rakan belia dan kelas mengaji untuk golongan muda.

Iklan

"Allahyarham jugalah yang mencetuskan idea mengadakan kuliah Hayatus Sahabah - kehidupan para sahabat Nabi, selepas solat Maghrib dan Subuh di masjid ini sedangkan sebelum ini tidak ada.

"Banyak lagi yang dilakukan Allahyarham dalam pembangunan masjid dan kariah di sini.

Iklan

"Allahyarham bukan sahaja disenangi, tetapi disayangi semua. Lihatlah tadi, ramai jemaah sertai solat jenazah sehingga penuh masjid umpama solat Jumaat," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Seri Iskandar di sini pada Rabu.

Allahyarham Nurul Kamal Zulkarnain

Azmi Murad berkata, jawatankuasa masjid akan meneruskan semua program dan aktiviti yang dirintis Allahyarham.

"Kita akan minta ustaz-ustaz bantu buat sementara waktu ini ambil alih kuliah-kuliah yang telah dijadualkan arwah.

"Kita mahu masjid ini terus diimarahkan dengan program ilmu sepertimana hasrat dan perjuangan arwah," katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Seri Iskandar pada Rabu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 2.30 petang dan antara ahli keluarga yang kelihatan hadir termasuklah bapanya, Zulkarnain Zainal Abidin, 66, dan saudara kembarnya, Nurul Anuar.

Allahyarham yang juga merupakan Guru Takmir di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar meninggalkan isteri, Nur Firdaus Salwa Zamrin, 30, dan tiga cahaya mata termasuk seorang yang baru dilahirkan dua hari lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, Allahyarham maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan terbalik ke kawasan ladang sawit di Kilometer 211.8 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) dekat Sitiawan.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas melawat isterinya yang melahirkan cahaya mata ketiga mereka di Hospital Seri Manjung.