Agong, Raja Permaisuri rai peserta tilawah pada majlis santapan petang

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan bergambar bersama para tetamu ketika berangkat pada majlis santapan petang bagi meraikan jemaah hakim dan peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 di Dewan Santapan Utama Istana Negara pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis santapan petang, bagi meraikan jemaah hakim dan peserta Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64.

Majlis santapan yang berlangsung di Dewan Santapan Utama Istana Negara di sini, dihadiri 92 peserta Tilawah Al-Quran dan Hafazan daripada 71 negara.

Iklan
Iklan

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan cenderamata kepada 20 jemaah hakim, serta beramah mesra dengan peserta tilawah dan hafazan yang hadir.

Iklan

MTHQA ke-64 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, disertai 92 peserta daripada 71 negara yang terdiri daripada 53 peserta tilawah dan 39 hafazan.

Pengurniaan hadiah kepada johan tilawah dan johan hafazan Al-Quran dijadual disempurnakan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Sabtu ini. - Bernama

Iklan