Terengganu dahului peratusan kemajuan pembinaan projek ECRL - Anthony

Iklan
Anthony

KUALA TERENGGANU - Kemajuan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu menunjukkan peratusan tertinggi iaitu 87.40 peratus sehingga September lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkembangan projek di negeri itu mengatasi di tiga negeri lain iaitu Pahang, Kelantan dan Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, secara keseluruhan peratusan pembangunan projek melibatkan empat negeri termasuk Kelantan, Pahang dan Selangor sebanyak 72.93 peratus dalam tempoh yang sama.

"Tahap kemajuan memberangsangkan ini selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026, manakala jajaran rel antara Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.

Iklan

"Sehubungan itu, saya mengucapkan tahniah kepada Terengganu di mana setakat September lalu, pembinaan projek ini mencapai kemajuan 87.40 peratus menjadikan negeri Terengganu mencatatkan peratusan tertinggi dan mendahului empat negeri lain dibawah projek mega ini,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) di sini pada Rabu.

Iklan

Anthony (berdiri dua dari kanan) bersama Ahmad Samsuri (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan Majlis MoU antara Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) di Kuala Terengganu, pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad, Muhtar Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Dalam pada itu, Anthony berkata, musim tengkujuh tidak mengganggu kerja-kerja pembinaan ECRL kerana aspek tersebut telah diambil kira terutama melibatkan kawasan stesen pengangkutan tersebut.

"Kita telah mengambil kira pelbagai aspek dan yakin mereka telah membuat perancangan dengan rapi. Kita tahu perubahan cuaca yang berlaku di Pantai Timur ini dan semua faktor itu telah diambil kira.

"Kawasan pembinaan ECRL dibina lebih tinggi daripada permukaan jadi tiada masalah berdepan faktor banjir kerana ia telah diambil kira dalam pembangunan ECRL ini," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, projek tersebut dijangka dapat memanfaatkan pengangkutan segmen kargo dan penumpang dalam masa terdekat.

Katanya, daripada enam stesen ECRL di Terengganu, dua stesen iaitu di Dungun dan Chukai berfungsi sebagai stesen kargo bagi menarik industri minyak dan gas.

"Ia selari dengan unjuran model perniagaan ECRL di mana anggaran 70 peratus daripada pendapatannya akan datang daripada sektor kargo, manakala baki 30 peratus diperoleh daripada perkhidmatan penumpang.

"Selaras dengan itu, pembinaan projek ini melibatkan 20 stesen di sepanjang jajaran nya iaitu 10 stesen bagi perkhidmatan penumpang manakala 10 stesen lagi gabungan daripada penumpang dan kargo," ujarnya.