SHAH ALAM - Satu kajian impak mendalam perlu dilakukan bersama semua pemegang taruh sebelum keputusan penamatan subsidi telur ayam gred A, B dan C dilaksanakan kelak.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, sekiranya subsidi dihentikan, harga telur ayam boleh meningkat 20 hingga 50 peratus, bergantung kepada situasi pasaran dan respons pengeluar.
Berikutan itu, katanya, penting bagi menilai kesan impak negatif kepada pengguna terhadap kenaikan harga tersebut terutama membabitkan golongan berpendapatan rendah.
"Penarikan subsidi berjumlah RM927 juta pada tahun 2023 juga menyebabkan pengurangan akses kepada telur yang merupakan sumber protein penting bagi rakyat dan juga kepada industri makanan di negara ini.
"Berdasarkan jangkaan semasa, harga telur mungkin boleh meningkat 20 hingga 50 peratus, bergantung kepada situasi pasaran dan respons pengeluar sekiranya subsidi ini dihentikan.
"Pada bulan September, data harga ex-farm telur ayam ialah RM 0.36 bagi Gred A, RM 0.34 bagi Gred B dan RM 0.32 bagi Gred C," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut juga menggesa kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan agensi seperti MyCC supaya bertegas dengan pemain-pemain industri telur ayam di negara ini.
Ujar beliau, ini untuk memastikan harga telur ayam adalah stabil dan bekalan mencukupi, serta peniaga tidak mengambil kesempatan menekan pengguna dengan menaikkan harga atau mengurangkan bekalan telur ayam di pasaran.
"Biarpun cadangan menghentikan subsidi bagi telur ayam ini mampu mewujudkan pasaran yang lebih seimbang, serta mempromosikan pasaran yang lebih kompetitif, namun impak segera dan kesan rantaian perlu diperhalusi oleh Kerajaan Madani.
"Secara keseluruhannya, impak kepada pengguna adalah bergantung kepada bagaimana pasaran menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut dan langkah-langkah sokongan tambahan serta intervensi yang mungkin boleh diambil oleh kerajaan," katanya.