Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 rujukan utama - Nadma

Iklan
Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 bakal menjadi rujukan utama dalam menyediakan panduan pengurusan risiko bencana yang relevan dan lebih baik. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 bakal menjadi rujukan utama dalam menyediakan panduan pengurusan bencana yang relevan dan lebih baik di semua peringkat nasional atau tempatan serta merentasi beberapa sektor secara menyeluruh.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, matlamat utama penubuhan dasar itu adalah menjadikan Malaysia selamat dan berdaya tahan dengan mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana yang komprehensif ke arah kesejahteraan rakyat serta pembangunan mampan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dasar terbabit menggariskan empat prinsip, lima teras strategik dan enam sasaran untuk diguna pakai semua pemegang taruh seperti Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat.

"Di peringkat global telah mengenal pasti tujuh sasaran iaitu pengurangan kadar kematian, bilangan mangsa terjejas, kerugian ekonomi, kerosakan infrastruktur dan gangguan bekalan asas.

Iklan

"Dasar terbabit juga menerapkan aplikasi sains dan teknologi. Skop ini terpakai untuk bencana kecil atau besar, kerap atau langka serta cetusan pantas atau perlahan disebabkan bahaya alam mahupun cetusan manusia," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 3 Oktober 2024 lalu sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2024.

Iklan

Ia digubal oleh Nadma dengan kolaborasi Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRIUKM) bersama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan UKM.

Proses penggubalan dasar berkenaan merangkumi tujuh bengkel dengan pihak berkepentingan dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak malah tinjauan awam pula melibatkan hampir 1,000 orang.

Khairul Shahril memaklumkan, kesemua pihak berkepentingan diharapkan merangka Pelan Tindakan Pengurangan Risiko Bencana di peringkat masing-masing dengan memperincikan aktiviti yang bakal dilaksanakan, anggaran belanjawan dan sasaran khusus berdasarkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

"Pelan tindakan ini perlu disemak semula dan dikemaskini secara berkala untuk memantau kemajuan aktiviti yang akan dilaksanakan.

"Platform Nasional Pengurangan Risiko Bencana (MyDRR) akan menjadi medium untuk semua pihak berkepentingan melaporkan aktiviti mengikut skop dan tanggungjawab masing-masing," ujarnya.