Sorok diesel bernilai RM11,800 dalam kebun pisang

Iklan
Muhammad Nizam (kiri) memeriksa tong yang terdapat dalam bangsal di kawasan kebun pisang Kampung Kepala Kerbau, Changlun pada Selasa. Foto: KPDN Kedah

CHANGLUN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 4,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM11,800 dalam sebuah bangsal di kawasan kebun pisang, Kampung Kepala Kerbau dekat sini pada Selasa.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan terbabit dijalankan kira-kira jam 11 pagi atas hasil risikan KPDN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan anggota penguat kuasa KPDN Kedah tiada individu berada di bangsal tersebut.

"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak diesel yang disimpan dalam bangsal tanpa lesen atau permit yang sah disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

Iklan

"Sehubungan itu, pasukan serbuan telah menyita sejumlah 4,000 liter minyak diesel, tiga unit tanki IBC, tiga unit tong drum dan peralatan yang digunakan memindah barang kawalan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhammad Nizam berkata, jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM13,150 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Iklan

Katanya, KPDN ingin mengingatkan mana-mana orang yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas.

"KPDN amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi," katanya.

Dalam perkembangan sama, kongsi beliau, KPDN Kedah telah melaksanakan beberapa pendekatan dalam usaha untuk mengekang ketirisan barang kawalan melibatkan petrol dan diesel.

"Antaranya, rondaan di stesen minyak berhampiran sempadan negara, penugasan di pintu keluar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan risikan bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas pihak yang terlibat dengan akitivti ini," katanya.

Menurut Muhammad Nizam, KPDN Kedah juga menempatkan pegawai secara statik di enam stesen minyak berhampiran sempadan yang merekodkan jualan petrol dan diesel yang tinggi bagi mendapatkan jumlah jualan sebenar ke semua stesen minyak dalam tempoh sebulan ini.