PUTRAJAYA - Semua pengusaha premis makanan diingatkan untuk sentiasa mengamalkan amalan baik semasa pengendalian makanan dan mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan, ia termasuklah membersihkan peralatan menggunakan sumber air yang bersih, menyimpan bahan mentah dan makanan di tempat yang selamat dan pada suhu yang betul serta mengamalkan kebersihan diri.
"Adalah menjadi tanggungjawab pengusaha premis makanan untuk memastikan semua pekerja menghadiri Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM serta mendapatkan vaksinasi anti tifoid," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar KKM, orang ramai pula dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih tempat makan dan sentiasa memastikan makanan yang diambil adalah bersih serta selamat.
"Sebelum membeli perhati dan pilih serta amalkan lihat, hidu serta rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan," jelas kementerian itu.
Menurutnya, melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), KKM sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa terhadap premis makanan bagi memastikan pematuhan kepada Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
"Dalam hal ini, KKM akan terus menjalankan advokasi dan memantau serta mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan makanan di negara ini terjamin," katanya.
Sebelum ini tular rakaman video yang memaparkan pekerja premis makanan mencuci kuali menggunakan air longkang secara terbuka.
Malah, sebuah premis di Melaka didapati turut menyimpan dan mencuci sayur di dalam tandas sebelum dijual kepada pelanggan.
Kedua-dua insiden membabitkan premis dikendalikan warga asing.