Pembinaan ECRL ikut jadual, tahap kemajuan capai 72 peratus

Iklan
Menteri Pengangkutan. Anthony Loke Siew Fook (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Muhtar Suhaili (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara EPIC dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) di sebuah hotel di sini pada Isnin. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur, telah mencapai 72.93 peratus setakat September.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tahap kemajuan yang memberangsangkan itu, selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, jajaran rel antara Gombak dan Pelabuhan Klang pula dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.

"Terengganu telah mencatatkan peratusan kemajuan tertinggi iaitu 87.4 peratus setakat tempoh sama dan telah mendahului negeri lain iaitu Selangor, Kelantan dan Pahang di bawah projek mega ini...membabitkan jajaran, landasan dan stesen.

Iklan

"Saya yakin dengan kemajuan ini kita boleh capai jadual. Memang kalau ikut jadual, perkhidmatan kereta api antara Kota Bharu dan Gombak perlu bermula pada 1 Januari 2027. Itu sasaran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad), di sini hari ini.

Iklan

Ditanya adakah projek pembinaan ECRL sejauh 665 kilometer itu akan terjejas memandangkan Terengganu dijangka memasuki musim tengkujuh susulan Monsun Timur Laut November ini, beliau berkata perkara itu telah diambil kira pihak pemaju membabitkan MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

"Semua telah diambil kira. Kita telah buat perancangan rapi. Mereka tahu bagaimana cuaca di pantai timur ini dan dengan pengalaman masing-masing, saya yakin kerja itu tidak akan terjejas...akan ikut jadual,” katanya.

Anthony berkata, beberapa kawasan yang dilalui ECRL itu dibina lebih tinggi daripada permukaan tanah bagi mengelakkan terkesan banjir, termasuk melalui pembinaan jejambat.

Sementara itu, mengenai MoU yang mengintegrasikan operasi logistik EPIC Berhad dengan rangkaian ECRL khasnya di laluan sambungan Pelabuhan Kemaman itu, Loke berkata ia akan merancakkan pengangkutan kargo melalui rangkaian rel berintegrasi yang efisien, kos efektif dan mesra alam.

Pemeteraian MoU itu katanya membolehkan perkhidmatan ECRL menghubungkan Pelabuhan Kemaman yang merupakan antara pelabuhan laut paling dalam di Malaysia dengan pelabuhan lain, taman perindustrian, pusat perniagaan dan zon pelancongan, di sepanjang jajaran relnya.

"Dengan pengoperasian ECRL kelak, Kementerian Pengangkutan (MOT) menggalakkan lebih banyak pengangkutan kargo untuk menggunakan perkhidmatan rel, serta memperluaskan lagi segmen pengendalian kargo dan logistik di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Anthony berkata, MRL juga pada Ogos telah menandatangani MoU dengan Pelabuhan Kuantan dan Northport Bhd bagi merealisasikan ‘jambatan darat’ yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, perkhidmatan ECRL dapat diperluaskan dengan pemeteraian MoU bersama rakan strategik industri berkenaan, sekali gus membolehkan projek tersebut fokus dalam melengkapkan sambungan rel hinga ke dermaga di Pelabuhan Kemaman, Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang.

"Dengan adanya hubungan terus antara Laut China Selatan dengan Selat Melaka melalui jajaran ECRL, kerajaan berharap agar perkhidmatan infrastruktur nasional ini dapat memanfaatkan pengangkutan segmen kargo dan penumpang, dengan anggaran 70 peratus pendapatannya datang daripada sektor kargo dan baki daripada sektor perkhidmatan penumpang,” katanya. - Bernama