Tegur penumpang warga asing muntah, pemandu e-hailing cedera ditumbuk

Iklan
Pemandu e-hailing cedera akibat ditumbuk dua penumpang warga asing. Foto hiasan

AMPANG - Pemandu e-hailing cedera akibat ditumbuk oleh dua penumpang warga asing kerana menegur salah seorang daripada mereka termuntah di dalam kereta di hadapan kondominium, Kampung Cheras Baru di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah malam, mangsa berusia 50 tahun itu mengambil penumpang iaitu seorang lelaki dan seorang wanita di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Pengadu kemudian menghantar mereka ke sebuah kondominium, semasa dalam perjalanan penumpang lelaki itu telah termuntah di dalam kereta dan mangsa menegurnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Azam berkata, setibanya di kondominium berkenaan, kedua-dua penumpang tersebut didakwa telah menolak pengadu sehingga terjatuh dan menumbuk di mulutnya sehingga menyebabkan luka, lebam di siku tangan kiri dan tapak tangan.

Iklan

"Penumpang tersebut juga disyaki telah merosakkan cermin sisi sebelah kiri dan menendang pintu kanan belakang kereta jenis Honda City yang dipandu mangsa," katanya.

Beliau berkata, susulan daripada laporan yang diterima, polis memberkas lelaki dan wanita berusia 30 dan 40 tahun itu di kondominium berkenaan pada jam 11 pagi Isnin.

Iklan

"Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan didapati negatif dadah, kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama," katanya.