KUANTAN - Isu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang tidak dibina di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) perlu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen dari Pahang pada sidang Parlimen yang akan datang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan dua R&R di LTU terdapat dalam skop projek sebelum ini dan sepatutnya diberikan perhatian.
"Saya hendak minta rakan-rakan ahli Parlimen di Pahang supaya memastikan (bangkit) perkara ini dan saya harap Speaker, Timbalan Speaker Dewan Rakyat memberi ruang yang secukupnya pada mereka untuk membahas isu ini pada sidang Parlimen tidak lama lagi.
"Malah, saya sudah berhubung dengan ahli Parlimen untuk pastikan R&R di LTU dibangkitkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Program Retreat Kepimpinan Masyarakat Orang Asli negeri di Hotel Grand Darul Makmur pada Rabu.
Menurutnya, ketiadaan R&R menyukarkan pengguna, terutama mereka yang memerlukan tempat untuk berehat atau menggunakan kemudahan asas.
"Saya difahamkan R&R ditiadakan disebabkan peningkatan kos dua kali ganda daripada jumlah asal. Tapi, kita harus ingat jajaran itu panjang dan ini bermakna perjalanan itu agak jauh.
"Kalau ada kanak-kanak, pengguna terpaksa berhenti, jadi (perlu) ada tandas dan sebagainya, tapi semua tidak disediakan.
"Namun, apa yang penting keselesaan pengguna harus dijaga dan kita minta Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Ekonomi usahakan pembinaan R&R," katanya
Pada April, media arus perdana melaporkan dua hentian R&R akan dibina di sepanjang LTU untuk kemudahan pengguna laluan tersebut iaitu di laluan antara Bentong dan Raub serta di Kechau Tui, Merapoh, Lipis.
Pembinaan laluan baharu yang dijangka siap menjelang akhir 2026 itu bakal memanfaatkan rakyat khususnya pengguna jalan raya yang melalui Pahang Barat (Bentong, Raub dan Lipis) menuju ke Kelantan.