'Saya sedia jumpa Presiden KDM di mahkamah' - Zulkarnain

Iklan
Zulkarnain

KOTA KINABALU - Aktivis politik, Datuk Zulkarnain Mahdar sedia berhadapan dengan tindakan saman Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) bagaimanapun berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang writ saman.

Iklan
Iklan

"Saya belum menerima apa-apa writ saman dan saya akan jawab saman tersebut serta bersedia berjumpa dengan beliau di mahkamah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau turut memberi respons berkaitan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini susulan kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang menyentuh isu pembatalan syarikat konsesi air menyebabkan bekalan air terjejas.

Iklan

"Itu adalah respons kami kepada kenyataan yang dibuat Ketua Menteri, jadi kita tampil membuat laporan SPRM meminta menyiasat kenapa syarikat yang terdahulu dibatalkan kontrak mereka.

"Kita juga meminta pihak SPRM menyiasat semua kontraktor baharu, adakah mereka mendapat kerja secara telus atau sebaliknya kerana ini sudah menjadi kepentingan umum, itu antara intipati yang kita minta kepada SPRM," katanya.

Iklan

Sehubungan itu, beliau menafikan bahawa ada membuat tuduhan ke atas individu tertentu yang mengamalkan rasuah dan perkara itu boleh dirujuk melalui siaran langsung menerusi beberapa portal.

"Sekali lagi kita ulang, tidak ada tuduhan terhadap individu tersebut. Bagaimanapun, memang kita ada sebut nama Peter Anthony dan kita konsisten bahawa beliau tidak sepatutnya menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Infrastuktur pada 2018," katanya.

Sebelum itu, Peter dalam sidang akhbarnya pada Rabu memaklumkan mengambil tindakan saman fitnah sebanyak RM100 juta terhadap Zulkarnain susulan kenyataannya di TikTok baru-baru ini.